Anak petani cemerlang STPM

Iklan
Arnie bersama ibu bapanya menunjukkan sijil yang diterimanya pada majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2022 di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Arnie Jaliusih, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens Kiulu, Tamparuli muncul antara 75 pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 di Sabah dengan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sebanyak 4.00.

Arnie yang merupakan anak keluarga petani berkata, taraf kehidupan keluarganya bukan penghalang untuknya melakar kejayaan dan berharap dapat belajar di peringkat yang lebih tinggi.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya saya tidak sangka mendapat keputusan cemerlang dan jangkaan saya hanya sekadar 3.8 atau 3.9 (PNGK) tetapi mungkin hasil usaha selama ini membolehkan saya sampai ke tahap ini.

"Ibu bapa saya hanya petani yang menanam sayuran dan padi bukit. Keputusan ini membolehkan saya menyambung belajar ke peringkat lebih tinggi untuk mengubah kehidupan keluarga pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas menerima sijil penghargaan pada majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2022 di Kolej Tingkatan Enam di sini pada Khamis.

Iklan

Berkongsi kaedahnya belajar, Arnie memberi penekanan pentingnya untuk membuat nota ringkas terutama pada saat akhir menghadapi peperiksaan.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, dia tinggal di asrama sejak di Tingkatan Satu kerana faktor lokasi ke sekolah jauh dari rumahnya iaitu Kampung Sinansag, Kiulu.

Iklan

Sementara itu, ibunya Malian Bangkulat, 52, turut berbangga anaknya memperoleh keputusan yang cemerlang.

"Saya sentiasa menyokong anak saya dan mahu dia meneruskan kecemerlangan ini. Arnie seorang anak yang baik dan ketika cuti sekolah dia banyak membantu saya dan suami mengerjakan padi," katanya.

Bapanya pula, Jaliusih Madakol, 62, memaklumkan mereka sekeluarga bergerak dari kampung seawal jam 6 pagi untuk menemani anaknya mengambil keputusan STPM.

"Memandangkan kami tiada kenderaan sendiri, saya sanggup menyewa kenderaan untuk membawa kami tiga beranak ke majlis ini," katanya.