BAGAI sirih pulang gagang. Pemain pertahanan skuad kebangsaan Singapura, Safuwan Baharudin 'rujuk' kembali dengan Selangor FC setelah enam bulan meninggalkan skuad Gergasi Merah kerana berubah angin beraksi bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) awal musim ini.
Keputusan itu turut didorong oleh saranan ibu bapanya untuk kekal beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M), meskipun mendapat beberapa tawaran daripada kelab Liga Thailand.
Penyertaan Safuwan turut dipengaruhi oleh 'aura' bekas Ketua Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe yang sukses mengemudi Selangor FC menghuni tangga kedua Liga Super selepas 16 perlawanan.
"Saya ada menerima beberapa tawaran dari Liga Thailand tetapi setelah berhubung dengan kedua ibu bapa, mereka menyarankan saya untuk terus berada di Malaysia bagi baki enam bulan terakhir musim ini iaitu bersama Selangor FC.
"Turut menarik minat saya untuk ke sini adalah Cheng Hoe. Saya belum pernah bermain di bawah bimbingannya,” ujar Safuwan menerusi laman rasmi Selangor FC pada Khamis.
Pemain berusia 31 tahun itu diperkenalkan semula sebagai pemain skuad Gergasi Merah pada Khamis, sehari selepas kelab yang disertainya selama separuh musim, skuad Jang bimbingan, K Devan mengumumkan untuk melepaskannya.
"Hubungan dengan rakan sepasukan Gergasi Merah akan membantu saya menjalankan tanggungjawab di sini terutama daripada segi komunikasi kerana separuh daripada pasukan merupakan rakan sepasukan sebelum ini.
"Saya juga berharap keserasian bersama pemain-pemain import dan beberapa pemain lokal baharu pasukan akan terjalin,” ujar Safuwan.
Sebelum menyertai NSFC, Safuwan telah menyarung jersi Merah Kuning selama tiga musim dengan membuat 37 penampilan dalam keseluruhan pertandingan.
Bagaimanapun, kecederaan yang membelenggu dirinya dalam tempoh enam bulan terakhir pada musim lalu memaksanya untuk keluar dari Selangor FC demi kebaikan diri dan kelab.
"Saya gembira dapat kembali ke sini selepas enam bulan meninggalkan pasukan. Diharapkan penyokong dapat menerima kepulangan saya.
"Pasukan bola sepak tanpa penyokong tidak akan berjaya. Semoga kita dapat bekerjasama untuk Selangor FC,” katanya.