BEKAS Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Akar Umbi Kelantan United FC (KUFC) berkuat kuasa pada Khamis.
Pengarah Eksekutif (KUFC), Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata, Rezal Zambery yang juga bekas pemain kebangsaan berpengalaman luas ketika kariernya sebagai pemain dan jurulatih, dalam memperbaiki dan meningkatkan program akar umbi serta pembangunan pemain muda Sang Kijang Hijau.
"Pihak pengurusan percaya beliau berupaya membawa perubahan kepada program pembangunan bermula dari program akar umbi seterusnya mampu mengetengahkan bakat ke peringkat lebih tinggi," katanya dalam kenyataan di Kota Bharu pada Khamis.
Dalam kenyataan sama, Wan Mohd Zul Ikman berkata, pihaknya mendapatkan khidmat dua pemain Terengganu FC secara pinjaman.
Beliau berkata, pemain berkenaan adalah pemain sayap, Muhammad Faiz Mohd Nasir dan pemain pertahanan, Muhammad Azarul Nazarith Azhar.
"Kedua-dua pemain ini dibawa masuk dalam usaha pihak kelab untuk menambah sengat benteng pertahanan serta jentera serangan pasukan sehingga akhir musim ini," katanya.
Sementara itu, Rezal Zambery mengucapkan terima kasih kepada KUFC atas kepercayaan yang diberikan kepadanya bagi mengisi jawatan tersebut.
Beliau mengakui sudah diberi penerangan sangat jelas berhubung beberapa program besar yang akan dilaksanakan menyebabkan tertarik untuk bersama KUFC bagi menjayakan projek tersebut. - Bernama