JOHOR BAHRU - Kemelut dalaman Bersatu Johor terus hangat apabila seorang Ketua Bahagiannya dikatakan meletakkan jawatan kerana mendakwa hilang kepercayaan terhadap parti.
Menurut sumber, individu terbabit yang juga juga seorang wakil rakyat DUN Johor itu menyatakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian tersebut berkuatkuasa 1 April lalu.
"Beliau memaklumkan bahawa dirinya bukan lagi Ketua Bahagian (bagi satu Bahagian di Johor). Surat peletakan jawatannya berkuat kuasa 1 April sebelum MB Johor meletak jawatan.
"Tindakan beliau itu kerana sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti yang gagal selesaikan semua masalah (dalaman) ketika itu," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Menurut sumber tersebut, Ketua Bahagian terbabit juga didakwa kecewa apabila masalah dalaman parti bertambah lebih besar selepas peletakan jawatan Menteri Besar Johor, bulan lalu.
"Beliau menyatakan apabila masalah bertambah lagi besar, parti buntu tiada jalan penyelesaian," katanya.
Selain itu, sumber turut memaklumkan ADUN terbabit dikatakan mahu keluar dari parti dan surat berkaitan hasrat tersebut akan diserahkan dalam masa terdekat.
"Beliau juga mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan pandangan diberikan kepadanya selain memohon maaf di atas kesilapan pernah dilakukannya," katanya.
Kebelakangan ini, Bersatu Johor tidak sunyi dari spekulasi dan perselisihan terutama melibatkan isu dalaman sekali gus memperlihatkan seolah-olah keretakan parti tersebut di mata umum.