KEPALA BATAS - Walaupun isu dan dasar berkenaan gaji berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia, Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi berhak untuk menyatakan pandangan beliau, berkenaan apa yang baik untuk negara.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, kerajaan sememangnya sedang meneliti kewajaran untuk melaksanakan model gaji progresif, di mana kementeriannya bakal membentangkan isu itu kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), pada bulan Ogos.
"Memang isu gaji merupakan di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia, pada masa yang sama, Rafizi sebagai Menteri Ekonomi juga berhak menyatakan apa yang baik untuk negara kita.
"Tambahan pula, kami bersama-sama ahli MTEN. Kami berdua akan berbincang apa mekanisme yang terbaik untuk negara kita,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Institut Latihan Perindustrian (ILP), di sini pada Khamis.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman yang berkata, Rafizi sepatutnya berkongsi rancangan meningkatkan ekonomi, dan bukannya rancangan kenaikan gaji progresif yang dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia.
Sivakumar berkata, pihak kerajaan sedang mengkaji model gaji yang lain, selain dasar gaji minumum yang dilaksanakan sekarang.
"Selepas pembentangan tersebut, mungkin kita akan buat keputusan yang selanjutnya. Kami sedang melihatnya, tetapi belum membuat keputusan. Gaji progresif satu model yang bagus, namum kita perlu melihatnya secara holistik,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program hari ini, Sivakumar berkata beliau berharap lebih banyak ILP di Malaysia akan mengikuti jejak langkah ILP Kepala Batas, yang melaksanakan program latihan melibatkan perserta TVET Tahfiz, di mana 23 peserta daripada Madrasah Tahfiz Al-Falah mengikuti Kursus Asas Servis Penyaman Udara.
Beliau berkata, perkara ini menyokong hasrat kerajaan, untuk mencapai matlamat bagi memastikan lepasan pelajar tahfiz mempunyai hala tuju lebih jelas selepas menamatkan pengajian, selain meningkatkan kebolehpasaran mereka. - Bernama