Simbah asid: Wanita warga emas dituduh di mahkamah esok

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 10 Julai lalu.

GOMBAK - Seorang wanita warga emas yang ditahan disyaki terlibat kes simbah asid terhadap pasangan suami isteri di sebuah pangsapuri di Batu Caves, di sini akan dituduh di mahkamah, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, suspek berusia lingkungan 60-an itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Selayang.

Iklan
Iklan

"Kertas siasatan telah dilengkapkan dan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

"Polis sudah menerima arahan untuk menuduh suspek di Mahkamah Majistret Selayang pada jam 9 pagi esok (Jumaat) dan akan menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya pada Khamis.

Iklan

Sebelum itu, suspek telah direman empat hari sehingga Khamis.

Reman itu dibuat susulan penahanan wanita terbabit pada Ahad dalam satu serbuan di sebuah taman perumahan sekitar Rawang.

Iklan

Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan, seorang warga emas bersama suami yang juga pengusaha kedai roti naan menempuh detik cemas apabila disimbah asid semasa memasuki lif di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, Gombak.

Kejadian itu kemudian tular menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Video berkenaan memaparkan seorang individu berdiri berhampiran mangsa dan anaknya semasa mereka sedang menunggu lif sebelum menyimbah cecair dipercayai asid sejurus mereka memasuki lif.

Laporan kejadian itu kemudian diterima polis pada jam 3.10 pagi, 4 Julai lalu.

Mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 60 tahun dan suaminya warganegara Pakistan telah menerima rawatan di Hospital Selayang.