PELAKON dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki mencatat satu lagi pencapaian baharu dalam profil seninya apabila dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula 7 Julai lalu.
Pelantikan itu juga memperlihatkan pemilik nama penuh Afdlin Shauki Aksan menjadi artis pertama yang memegang jawatan tersebut.
Mengulas mengenai pelantikannya itu, Afdlin berkata, beliau terkejut apabila diminta menghantar curriculum vitae kepada DBKL, sebelum ditawarkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Penasihat itu.
Selain Afdlin, terdapat 10 lagi ahli baharu yang dilantik sebagai lembaga penasihat bagi menawarkan nasihat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur.
"Saya percaya, pelantikan saya boleh membantu memberi pemahaman kepada pihak DBKL mengenai permasalahan artis melibatkan persembahan sama ada nyanyian atau program langsung.
"Kuala Lumpur juga menjadi antara lokasi paling ramai pekerja seni. Jadi saya berharap bandar ini boleh menjadi hab seni supaya kita boleh menarik lebih ramai anak muda menyertai industri seni, bukan hanya di depan tabir, tetapi juga di belakang," katanya kepada Sinar Harian.
Berharap dapat menjadikan ibu kota sebagai hab pusat seni, figura berusia 52 tahun itu menjelaskan, biarpun Kuala Lumpur sudah dikenali di mata dunia, tetapi tidak salah untuk memperkenalkan bandar ini sebagai kota seni.
"Kalau kita lihat di negara luar, ada bandar yang mereka jadikan hub seni untuk menarik lebih ramai pelancong dan mengapa tidak untuk kita lakukan perkara sama di Kuala Lumpur.
"Kita mungkin boleh anjurkan pelbagai festival kesenian bertaraf antarabangsa atau aktiviti lain yang menarik bukan hanya untuk warga tempatan, tetapi juga pelancong," jelasnya.
Dalam pada itu, ditanya adakah penglibatannya ini bakal membuka jalan buat Afdlin melangkah ke dunia politik, bintang Papadom itu mempunyai jawapan tersendiri.
"Buat masa ini saya tak nak jadi ahli politik dan mahu memberi fokus kepada tugas ini terlebih dahulu. Bagaimanapun untuk masa akan datang, saya tidak pasti," tuturnya ringkas.
Sementara itu, berkongsi berkaitan karier seninya, Afdlin berkata, beliau masih aktif dan jawatan baharu ini tidak membataskan kerjayanya.
"Insya-ALLAH filem saya, Baik Punya Along akan keluar awal tahun depan dan saya juga akan mengarahkan sebuah lagi filem baharu dalam masa terdekat.
"Walaupun ada tugas baharu, tetapi ia tidak menganggu kerjaya seni saya dan saya akan ke pejabat sekiranya diperlukan kerana ia bukan kerja tetap," jelasnya.