TARIKH 12 Ogos telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai hari pengundian untuk pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri – Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Hari penamaan calon pula pada 29 Julai dan hari pengundian awal pada 8 Ogos.
Di Kedah, bahang menuju PRN telah dirasai sejak beberapa bulan lalu, dengan parti-parti politik dilihat mula mengatur strategi masing-masing.
Pada 29 April lalu, Bas Perpaduan yang akan digunakan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Kedah untuk mengadakan ceramah bergerak di seluruh Kedah sepanjang kempen PRN telah dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Himpunan Madani Kedah di Dataran Stargate, Alor Setar.
Selepas dua minggu iaitu pada 13 Mei, Perikatan Nasional (PN) pula mengadakan pelancaran Himpunan Jentera Pilihan Raya PN Kedah secara besar-besaran di Padang Awam Guar Chempedak, Yan.
Sementara itu, ketika wawancara eksklusif bersama Ketua Wartawan Sinar Harian Utara, Roslinda Hashim dan penulis sendiri baru-baru ini, Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu PN masih berbisa di Kedah.
Menurut Menteri Besar Kedah itu, sokongan rakyat terhadap parti itu didapati meningkat dan gelombang semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih kekal sehingga kini.
Bagi Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu, parti tersebut mungkin boleh memperoleh 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah sekiranya usaha ditingkatkan lagi, namun sudah memadai sekiranya memenangi 33 daripada 36 kerusi DUN pada PRN itu nanti.
Ia berikutan beberapa kejayaan telah dicapai PN iaitu lonjakan pelaburan dan menyelesaikan masalah termasuklah infrastruktur bekalan air sepanjang mentadbir Kedah
PN juga dilihat memiliki kelebihan di Kedah dari segi sokongan masyarakat terutama anak muda yang sentiasa menyokong program dan aktiviti termasuklah yang melibatkan keagamaan.
Buktinya, program tazkirah Israk Mikraj sempena Karnival Kedah Sejahtera di Dataran Medan Bandar dilaporkan telah dibanjiri kira-kira 50,000 peserta pada Februari lalu.
Terbaharu, lebih kurang 15,000 peserta dikatakan menyertai program Himpunan Kedah Berselawat di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada bulan lalu.
Bagaimanapun, jangan dilupakan aura gabungan PH-BN. Tidak mustahil gabungan tersebut mampu mencipta kejutan dan mempengaruhi corak pengundian serta sokongan rakyat menjelang PRN Kedah.
Ia susulan beberapa isu yang timbul termasuklah kelantangan Muhammad Sanusi yang kerap mengeluarkan kenyataan dianggap kontroversi dan mungkin dijadikan modal PH-BN ketika berkempen.
Disebabkan itu, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar pada 10 Julai telah menzahirkan keyakinan bahawa gabungan PH-BN mampu memperoleh kemenangan dengan majoriti mudah.
Menurut Mahfuz, ramalan kemenangan itu berdasarkan formula 16 kerusi DUN yang berada dalam tangan gabungan PH-BN.
Boleh dilihat, kedua-dua pihak sama ada PN mahu pun PH-BN menunjukkan keyakinan mampu mencapai kemenangan di Kedah.
Namun, pada masa sama jangan lupa dengan kuasa pengundi terutama pengundi atas pagar dan golongan pengundi muda.
Justeru, kita nantikan sahaja parti manakah yang akan menjadi pilihan rakyat Kedah bagi mengisi 36 kerusi DUN negeri itu.
Adakah PN yang sedang memimpin kerajaan negeri ketika ini mampu mempertahankan Kedah atau gabungan PH-BN bakal menjadi kuasa baharu di negeri jelapang padi.
Kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing dan memiliki strategi tersendiri bagi meraih sokongan pengundi.
Apa pun, pesanan penulis ketika berkempen nanti, berkempenlah secara sihat berasaskan fakta benar, sekali gus dapat mengelak daripada fitnah serta adu domba negatif.
Penceramah dan ahli politik juga diingatkan agar elak menyentuh sebarang isu sensitif melibatkan kaum, agama dan institusi raja (3R) demi keharmonian masyarakat negara ini.
*Nurul Hidayah Hamid ialah Wartawan Sinar Harian