Masjid bantu kucing terbiar

Iklan
Kandang kucing yang kini menempatkan lebih 10 ekor kucing. Gambar kanan: Masjid Nurul Huda Felda Siantan Jengka 19.

JENGKA - Tidak mahu kucing jalanan dan dibuang terbiar, pengurusan Masjid Nurul Huda di Felda Siantan Jengka 19 di sini mengambil inisiatif menyediakan kandang dan menjaga haiwan kesayangan Nabi Muhammad S.A.W itu sebaik mungkin di pekarangan masjid tersebut.

Pengerusi masjid, Nordin Limat memberitahu, usaha murni tersebut mula dilaksanakan bermula tahun ini dengan lebih 10 ekor kucing mendapat perhatian pengurusan masjid.

Nordin (tiga dari kanan) bersama kandang kucing yang disediakan untuk kucing-kucing yang terbiar dan dibuang di kawasan masjid

Iklan
Iklan

Menurutnya, usaha itu berjaya direalisasikan dengan kerjasama mantap ahli jawatankuasa masjid selain jemaah sendiri.

"Pada mulanya agak sukar juga kerana kucing-kucing ini sudah biasa bebas namun lama kelamaan ia menjadi kebiasaan dan usaha ini juga mewujudkan suasana lebih selesa, kebersihan lebih terjaga selain menjadi tarikan buat orang ramai.

Iklan

"Kini kucing-kucing yang terbiar dan dibuang di kawasan masjid mendapat jagaan rapi dan selamat berbanding terbiar bebas sebelum ini," kata beliau kepada Sinar Harian.

Tambah Nordin, selain usaha tersebut, pihaknya juga mengambil langkah berani dengan memelihara ikan kap di dalam longkang.

Ruangan kanak-kanak untuk bermain turut disediakan di masjid tersebut

Iklan

"Sejujurnya tak sangka usaha ini juga berjaya dilakukan dan kini ia juga menjadi tarikan buat orang ramai yang datang ke masjid," jelas beliau.

Usaha tersebut antara keunikan dan kelebihan yang dimiliki masjid tersebut hingga dinobatkan selaku juara Masjid Contoh Felda sempena sambutan Hari Peneroka Felda 2023 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada 7 Julai lalu sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM25,000.

Landskap menarik demi keselesaan orang ramai di masjid tersebut

"Ini kejayaan tidak dijangka kerana mendapat saingan sengit daripada wilayah-wilayah lain, namun syukur ia menjadi kemenangan bermakna buat pihak masjid yang pertama kali tercalon bagi kategori ini," jelas beliau.

Selain usaha tersebut, Nordin memberitahu, pelbagai aktiviti turut dijalankan seperti mewujudkan pusat infak baju yang diagihkan kepada golongan memerlukan.

"Usaha ini banyak membantu golongan kurang berkemampuan untuk merasai pakaian yang selesa dan masih elok lagi sempena Aidilfitri lalu.

"Ia mendapat sambutan hangat orang ramai yang hingga kini masih menyalurkan pakaian yang masih elok di pusat infak yang tersedia di masjid ini," tambah beliau turut disediakan ruangan bermain untuk kanak-kanak dan pelamin buat pengantin selain landskap menarik sekitar pekarangan masjid tersebut.

Ditanya hadiah kemenangan yang diperolehi, pihak masjid akan mengadakan kenduri selamat selain digunakan menjayakan pelbagai aktiviti serta kelengkapan untuk masjid baharu yang kini dalam proses pembinaan.

"Masjid baharu bernilai RM5 juta kini dalam proses pembinaan dan dapat menampung lebih 1000 orang pada satu masa yang dijangka siap hujung tahun ini berbanding masjid sedia ada yang wujud sejak 80-an, 700 hingga 800 jemaah," jelas beliau terdapat kira-kira 4,000 penduduk di rancangan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka,Razak Daud memuji usaha dan komitmen pengurusan masjid itu hingga berjaya mengharumkan nama tersebut dalam sambutan Hari Peneroka Felda 2023 baru-baru ini.