KLANG - Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan calon pertama parti itu untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos depan.
M Sivaranjani, 42, yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PSM diumumkan pada sesi pengenalan calon oleh Pengerusi parti itu, Dr D Jeyakumar.
Sivaranjani atau lebih dikenali sebagai Jani berkata, tumpuan utama beliau di DUN itu adalah menangani permasalahan rakyat di kawasan berkenaan.
"Fokus utama saya menumpukan isu banjir dan kemudahan infrastruktur, peluang pekerjaan serta gaji minimum pekerja terutama dalam sektor perkilangan di kawasan ini," katanya ketika ditemui semasa sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat PSM Kapar di sini pada Khamis malam.
Jani memberitahu, selain itu, beliau juga mahu memberi tumpuan kepada isu pekerja estet, peneroka bandar dan penduduk pangsapuri kos rendah.
"Bagi saya, kita perlu hidup bersama rakyat dengan turut menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi kepada bangsa dan agama, sebaliknya bekerja untuk rakyat," jelas beliau.
Sehubungan itu, katanya, faktor anak jati tempatan memberi kelebihan kepada beliau untuk berkhidmat di DUN itu sekiranya dipilih pengundi.
"Saya terharu diberi kepercayaan menjadi calon pertama selepas lebih 15 tahun berkhidmat dengan PSM serta memperjuangkan hak rakyat marhaen terutama berkaitan pekerja dan pemerkasaan akar umbi," ujar beliau.
Sementara itu, Jeyakumar berkata, pihaknya akan mempertaruhkan beberapa calon di kerusi DUN Selangor dan membuat pengumuman calon secara berperingkat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi DUN Meru dimenangi Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar atas tiket Parti Amanah Negara (Amanah) namun kemudiannya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Mohd Fakhrulrazi memperoleh majoriti 9,608 undi selepas mendapat 17,665 undi menewaskan Khairul Anuar Saimun daripada BN dengan 8,507 undi dan PAS diwakili, Noor Najhan Mohamad Salleh pula memperoleh 7,804 undi.
Dua calon hilang deposit iaitu daripada Parti Rakyat Malaysia melalui calonnya, Manikavasagam yang memperoleh 346 undi dan calon bebas, Alex Shee Chee Weng mendapat 72 undi.