KUANTAN - Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) menafikan beberapa isu yang cuba dibangkitkan pihak tertentu terhadap projek tanaman kelapa sawit yang diusahakan atas tanah miliknya seluas 402.33 hektar di Kampung Darat Air Hitam, Pekan.
Pengerusinya, Datuk Zamri Yaakob berkata, projek yang dibangunkan sejak tahun lalu itu mematuhi syarat ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan telah menerima kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) pada 2021.
Menurutnya, projek itu dibangunkan atas tanah hak milik yang tidak melibatkan kawasan tadahan air atau hutan tanah gambut seperti yang didakwa pihak tertentu.
"Tidak timbul isu projek ini mengganggu kehidupan masyarakat Orang Asli di kawasan itu sebaliknya kira-kira 40 hektar tanah milik Pasfa itu yang telah diceroboh untuk aktiviti penanaman kelapa sawit," katanya dalam sidang akhbar berkait isu terbabit pada Jumaat.
Zamri berkata, pihaknya telah membuat laporan polis dan isu pencerobohon itu kini dalam tindakan mahkamah.
Jelasnya, beberapa isu yang dibangkit itu dianggap selesai selepas beberapa perbincangan telah dijalankan melibatkan beberapa pihak termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) dan masyarakat Orang Asli di kawasan terbabit.
"Projek ini akan diteruskan dan kerja penanaman dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini dengan kos RM5 juta.
"Setakat ini 200 hektar sudah selesai ditanam dan hasil projek ini dijangka akan diperoleh pada pertengahan 2026 secara berfasa," ujarnya.
Sebelum ini, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempertikaikan dan menggesa JAS membatalkan EIA bagi projek itu yang didakwa
tidak dipamerkan mengikut garis panduan ditetapkan.
Dalam pada itu, Zamri berkata, projek terbabit tidak boleh ditangguhkan dengan mengambil kira kepentingan lebih 70,000 ahli peladang di negeri ini.
"Pihak Pasfa akan memberi perhatian dan mematuhi peraturan serta syarat ditetapkan agar projek ini tidak menjelaskan alam sekitar.
"Paling penting projek ini mendapat kelulusan dan dibangunkan selepas mendapat kelulusan EIA," katanya.