ANAK syarikat milik penuh Wellspire Holdings Berhad (Wellspire) di Malaysia secara rasmi menjadi pengedar eksklusif produk Cundo Food Co Ltd’s (Cundo) melibatkan tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Thailand.
Ketua Pegawai Eksekutif Wellspire, Mo Guopiao berkata, menerusi perjanjian baharu, Wellspire akan memiliki hak pengedaran eksklusif untuk mengedar produk kek bersalut coklat berperisa susu, strawberi dan raspberi serta coklat di rantau yang ditetapkan.
Menurutnya, ia sekali gus memberi hak pengedaran pertama Wellspire di luar Thailand selama tiga tahun bermula 13 Julai 2023 sehingga 12 Julai 2026.
"Pendapatan dalam segmen makanan ringan di Malaysia dan Singapura dijangka berjumlah kira-kira AS$3.4 bilion (RM15.86 bilion) dan AS$336.9 juta (RM1.57 bilion) masing-masing pada 2023 serta dijangka berkembang setiap tahun sebanyak 7.9 peratus termasuk 5.41 (CAGR 2023-2028).
"Segmen itu dijangka menunjukkan pertumbuhan volum sebanyak 3.6 peratus pada 2022 dan berjumlah 1,364.7 meter-kilogram (mkg) menjelang 2025,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelas Guopiao, pasaran kuih-muih dan makanan ringan di Asia Tenggara diunjur berkembang sebanyak 18.47 peratus (2023-2027) menghasilkan volum pasaran lebih daripada AS$3 billion (RM13,58 bilion) menjelang 2027.
Mengulas lebih lanjut, Guopiao berkata, di Thailand pasaran kuih-muih bernilai lebih daripada AS$5.6 bilion pada 2021 dengan unjuran CAGR sebanyak 4.03 peratus sehingga 2025 dan ia dijangka menunjukkan pertumbuhan volum sebanyak 3.8 peratus pada 2022 serta berjumlah 1,411.2 mkg menjelang 2025.
Sementara itu, Pengerusi Cundo, Chen Hongjie berkata, permintaan terhadap makanan ringan yang sihat dan berkualiliti di tiga negara itu semakin meningkat.
"Produk kami telah melalui penyelidikan dan pembangunan yang meluas untuk memastikan kualiti dan rasa mereka memenuhi permintaan pengguna dan yakin penduduk tempatan akan menikmatinya.
"Selain itu, kami percaya rangkaian dan sambungan Wellspire dalam pasaran tempatan akan dapat memberikan hasil yang mantap dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan Wellspire bagi memperkenalkan lebih banyak produk di tiga negara ini pada masa hadapan,” ujarnya.