Sindiket keldai akaun, 9 termasuk wanita warga asing diberkas

Iklan
Antara suspek yang ditahan menerusi serbuan di sebuah premis dipercayai terlibat dengan sindiket keldai akaun menerusi serbuan di sebuah premis di sini pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga asing antara sembilan individu diberkas menerusi serbuan ke atas premis dipercayai terbabit dengan sindiket yang membekalkan maklumat perbankan akaun keldai kepada pihak ketiga.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kesemua individu terlibat berumur antara 22 hingga 50 tahun terdiri daripada seorang wanita dan lapan lelaki tempatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, serbuan dijalankan menemui pelbagai peralatan dan dokumen dipercayai digunakan untuk aktiviti keldai akaun.

"Antara dirampas adalah 11 buah telefon bimbit pelbagai jenama, 14 keping kad ATM, satu unit modem, satu unit router, lima cop syarikat, enam keping kad sim dan lapan keping senarai nama dan akaun.

Antara dokumen dan peralatan yang dirampas menerusi serbuan di sebuah premis dipercayai menjalankan kegiatan keldai akaun menerusi serbuan di sebuah premis di ibu negara pada Rabu.

Iklan

"Selain itu, turut ditemui 13 keping salinan SSM, tiga keping slip kemasukan duit dan wang tunai pelbagai jenis mata wang berjumlah RM1,649," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, serbuan tersebut dijalankan anggota daripada Risikan/Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dibantu oleh Risikan/Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Iklan

Mengulas lanjut katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat unsur aktiviti mengumpul kad ATM, pengeluaran wang dan pemindahan perbankan dalam talian.

"Wang hasil aktiviti tersebut akan dikeluarkan oleh ahli sindiket ini dan kemudian akan dihantar ke akaun yang diberikan oleh ahli sindiket melalui deposit tunai," katanya.

Ujar Amihizam, kesemua ahli sindiket terbabit menerima komisen sebanyak dua peratus daripada jumlah yang dikumpulkan.

"Kesemua suspek direman empat hari bagi siasatan selanjutnya. Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.