Batal lesen jika jual peranti perubatan tidak sah - MDA

Iklan
Muralitharan (tengah) menunjukkan peranti perubatan berupa kondom tidak sah yang dirampas di Sungai Petani, Kedah pada Khamis.

CYBERJAYA - Jangan ambil mudah jual peranti perubatan tidak didaftar di negara ini kerana tindakan tegas termasuk pembatalan lesen perniagaan menanti buat golongan yang masih berdegil.

Demikian tegas Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Muralitharan Paramasua kepada penjual dan pengedar peranti perubatan tidak sah atau tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terdapat lambakan penjualan peranti perubatan dalam pasaran negara termasuk penjualan secara dalam talian.

Beliau berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan dan pemeriksaan ke atas peranti perubatan yang dibawa masuk dari luar negara dengan kerjasama pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Iklan

"Malah nilai rampasan pada tahun ini sehingga Julai adalah sebanyak RM500,000 melibatkan peranti perubatan yang palsu dan sub standard," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Hadir sama Pengarah Bahagian Pasca Pasaran dan Penguatkuasaan MDA, Idamazura Idris.

Iklan

Mengulas lanjut, Muralitharan berkata, masih terdapat banyak penjualan peranti perubatan di pasaran negara terutama di Lembah Klang kerana pihak tidak bertanggungjawab ingin mendapat keuntungan besar.

Tambahnya, tanpa perlu mendaftar dan mengelak daripada kos-kos tertentu, ia merupakan langkah mudah menjual peranti perubatan tidak sah kepada orang ramai.

Begitupun katanya, tanpa mematuhi piawaian ditetapkan oleh pihak berkuasa, barangan tersebut akan membahayakan pengguna.

Justeru, MDA akan melakukan operasi serbuan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi mengekang penularan peranti perubatan tidak sah dalam pasaran negara.

Beliau berkata, terbaharu MDA telah melakukan serbuan di sebuah premis yang khusus menjual kondom di Taman Pekan Baru, Sungai Petani, Kedah pada Khamis.

Katanya, dalam serbuan yang dilakukan bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, MDA berjaya merampas 501 unit kondom yang dianggarkan bernilai sekitar RM5,000.

Menurutnya, premis menjual kondom tidak berdaftar itu dipercayai telah beroperasi sejak tiga tahun lalu selain tidak mempunyai lesen establismen.

Jelasnya, kebanyakan peranti perubatan syarikat itu dijual kepada individu secara langsung dan dalam talian.

"Serbuan ini dibuat bagi mengekang penjualan peranti perubatan tidak berdaftar, seterusnya memberi perlindungan kepada pengguna.

"Ia bagi mengelak daripada risiko terkena jangkitan penyakit kerana kondom yang dijual tanpa pendaftaran adalah berisiko tinggi," ujarnya.

Dalam pada itu, Muralitharan berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 5 (1) Akta 737 kerana mengimport, mengeksport atau meletakkan peranti perubatan di dalam pasaran sebelum didaftarkan.

Selain itu katanya, kes tersebut juga akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta 737 kerana tidak mempunyai lesen establismen yang diberikan oleh pihak berkuasa.