[VIDEO] Warga emas mengaku simbah asid dijel 12 bulan

Iklan

SELAYANG - [DIKEMAS KINI] Tidak tahan diganggu pengusaha kedai roti naan menjadi punca seorang wanita warga emas sanggup menyimbah cecair kimia (asid) pada seorang lelaki warga Pakistan berusia 37 tahun, di sebuah lif pangsapuri di sini, minggu lalu.

Tindakan itu akhirnya mengundang padah apabila Saira Abdullah, 62, dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, selepas mengaku bersalah atas kesalahan berkenaan.

Iklan
Iklan

Majistret, Chai Guan Hock memerintahkan penganggur itu dipenjara bermula tarikh tangkap iaitu 9 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan cecair kimia ke atas Inam Ullah, di dalam lif Pangsapuri Laksamana Jaya, Kampung Laksamana, pada 1.10 pagi, 4 Julai lalu.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Saira yang memakai jubah biru, dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pada Jumaat bagi menghadapi pertuduhan menyimbah cecair kimia pada sepasang suami isteri, di sebuah lif pangsapuri di sini, minggu lalu.

Sementara itu, dalam prosiding sama, Saira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama iaitu mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita Jemilah Sabda, 60, yang juga isteri Inam, di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Iklan

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan 12 September ini bagi sebutan semula kes.

Mengikut fakta kes, seorang pengadu, Noorashidah Abu Safian iaitu anak Jemilah, telah menerima panggilan menyatakan bapa tirinya telah disimbah cecair kimia di lokasi kejadian.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan.

Hasil pemeriksaan mendapati, Inam melecur tahap satu di bahu kanan dan belakang badan.

Semasa prosiding, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Menurutnya, Saira mengalami kemurungan teruk dan pernah mendapatkan rawatan hospital selepas suaminya didapati mempunyai hubungan sulit dengan perempuan lain.

"Ditambah pula provokasi oleh Inam, yang mahu berkawan dengan anak guam saya, menyebabkan dia tidak boleh berfikir dengan betul lalu mengambil tindakan sendiri (menyimbah asid)," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon tertuduh dikenakan hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan adalah serius.

"Kita perlu mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa.

"Menyentuh tekanan yang ditimbulkan oleh peguam, ia tidak dapat disahkan kerana tiada dokumentasi diberi kepada mahkamah," katanya.

Minggu lalu, Sinar Harian melaporkan, seorang warga emas bersama suami yang juga pengusaha kedai roti naan menempuh detik cemas apabila disimbah asid semasa memasuki lif di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, Gombak.

Kejadian tersebut berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bangunan pangsapuri terbabit.

Ia kemudiannya tular di media sosial, memaparkan seorang individu berdiri berhampiran mangsa, semasa menunggu lif sebelum bertindak menyimbah cecair dipercayai asid.

Mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 60 tahun dan suaminya warganegara Pakistan telah menerima rawatan di Hospital Selayang.

Enam hari selepas kejadian, seorang wanita warga emas ditahan bagi membantu siasatan kes itu.