MELAKA - Seorang pengusaha stesen minyak didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas kesalahan memanipulasi harga produk kesihatan, Januari lalu.
Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman denda tersebut terhadap Mohd Ashraf Mohd Yusof, 33, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah.
Dalam masa sama beliau turut memberitahu bahawa kesalahan dilakukan disebabkan kecuaian pekerja sendiri, impaknya perlu ditanggung majikan.
"Sayang kerana kecuaian pekerja, majikan kena menanggungnya dan jadikan iktibar supaya pengguna tidak terpedaya dengan harga dimanipulasi," katanya.
Berdasarkan pertuduhan, Orang Kena Saman (OKS) didapati telah memberi gambaran yang mengelirukan mengenai harga barangan Panadol Menstrual 10's yang dipamerkan dengan harga RM5.40, sebaliknya harga diimbas pada mesin pengimbas adalah RM7.20.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai serbaneka stesen minyak di Lebuh Ayer Keroh di sini, pada jam 11.15 pagi, 5 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(1) ( b) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan boleh hukum bawah Seksyen 25(1) (b) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norhysham Mohd Noor yang memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana tidak wajar melakukan kesalahan sedemikian lebih-lebih lagi membabitkan barangan yang dianggap sebagai keperluan pengguna.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan diringankan memandangkan perlu menjaga dua orang anak kerana isteri bekerja sebagai doktor pakar di Perak selain kecuaian dilakukan pekerjanya dan bukan niat untuk mengelirukan sesiapa.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Nabilah kemudian menjatuhkan hukuman denda tersebut dan penjara sebulan jika gagal bayar serta barang kes dikembalikan kepada pihak pendakwaan untuk dilupuskan.
Mohd Ashraf yang hadir dengan memakai pelitup muka kemudian membayar denda tersebut.