SHAH ALAM - Empat calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sepakat mahu memberikan 'wake up call' kepada kerajaan terutamanya melibatkan agenda reformasi yang dijanjikan.
Setiausaha agungnya, Amir Hadi, 32, yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang berkata, banyak isu yang sebelum ini telah diperjuangkan bersama Pakatan Harapan (PH), namun tidak dibincangkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir.
Menurutnya, pencalonan Muda diharap mendapat sokongan pengundi yang akan turut sama memberikan isyarat dan peringatan kepada kerajaan untuk melaksanakan perubahan dijanjikan.
"Kita mahu kerajaan konsisten dengan benda yang dijanjikan antaranya reformasi undang-undang seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang perlu diteruskan.
"Ada dua dimensi yang mahu Muda tumpukan iaitu isu tempatan dan nasional sebagai signal kepada kerajaan untuk konsisten mendengar suara rakyat," katanya pada Jumaat.
Amir yang baharu pertama kali menjadi calon pilihan raya akan memberikan fokus kepada isu infrastruktur, kebajikan dan pemerkasaan belia di DUN Seri Serdang.
Beliau memberitahu tetap bersemangat dan bersedia memberikan cabaran sebaik namanya dicalonkan Muda untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos depan.
"Secara mental saya agak siap dan tidak berdepan banyak masalah kerana pernah harungi beberapa pilihan raya sebagai orang yang membantu, cuma kini menjadi calon.
"Saya sudah sediakan pasukan yang akan membantu gerak kerja, semua komited untuk membantu selain turut mengalu-alukan sokongan sukarelawan.
"Cuma yang sedang dipersiapkan sekarang dari segi kewangan dan sedang membuat pengumpulan dana melalui penjualan baju dan lain-lain memandangkan kita tiada penyumbang besar serta mengharapkan pembiayaan daripada orang ramai," katanya.
Sementara itu calon Muda kerusi DUN Batu Tiga, Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen, 35, berkata, beliau mahu memperbanyakkan perwakilan wanita sebagai pembuat dasar di peringkat negeri.
"Selangor negeri paling maju tetapi peratusan wanita sebagai wakil rakyat masih rendah. Misi saya untuk tarik lebih ramai anak muda khususnya wanita untuk ke depan menjadi ketua dan pemimpin
"Sebelum ini saya tidak pernah menyertai sebarang parti politik, sehinggalah Muda ditubuhkan.
"Politik baharu yang dibawa tanpa menyentuh isu 3R (kaum, agama dan raja) membuatkan saya tertarik untuk turut menyumbang dalam komuniti dan membawa perubahan," katanya.
Selain itu, parti tersebut turut menampilkan dua lagi calon iaitu seorang guru, R Thanusha, 25, yang mewakili Muda di kerusi DUN Sentosa dan graduan undang-undang, Melanie Ting, 23, di kerusi DUN Bukit Antarabangsa.
Melanie ketika dihubungi memaklumkan menawarkan diri untuk bertanding dan bersemangat serta tidak gementar untuk memberikan saingan kepada calon-calon yang berpengalaman.
"Sasaran saya adalah untuk menang dan membawa perubahan serta memberikan perkhidmatan kepada pengundi DUN Bukit Antarabangsa.
"Antara perkara yang akan saya fokuskan adalah isu perubahan iklim, meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam terutama kekerapan bas di sana," katanya.
Thanusha pula berkata, beliau akan memanfaatkan tempoh kempen PRN untuk memperkenalkan diri dengan kepada pengundi Sentosa.
"Saya akan pastikan kempen saya menjadi satu kempen yang luar biasa dan out of box yang akan menarik lebih ramai pengundi.
"Gerak kerja sedang diusahakan dan mengumpul dana. Saya bersetuju untuk bertanding di bawah payung Muda kerana sependapat dengan ideologi serta polisi yang diketengahkan parti
"Sentosa memerlukan idea segar yang bukan sekadar cantik di atas kertas tetapi mampu dilaksanakan," katanya.