Sindiket kurangkan duti kereta mewah, tujuh ditahan SPRM

Iklan
Suspek sindiket kurangkan duti kereta mewah secara tidak sah dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pada Jumaat bagi permohonan reman.

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh individu kerana disyaki terlibat dalam sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah.

Sumber berkata, perbuatan penyelewengan itu menyebabkan negara mengalami ketirisan cukai kastam sebanyak RM33 juta.

Iklan
Iklan

Katanya, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 60-an telah ditahan di pejabat SPRM Kedah antara jam 5 petang hingga 10.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

"Suspek-suspek berkenaan yang merupakan ejen kastam dipercayai bersubahat bersama pemilik kereta.

Iklan

"Mereka yang terlibat mengemukakan dokumen atau maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam, sedangkan kenderaan tersebut tidak layak menerimanya," katanya pada Jumaat.

Susulan penahanan tersebut, Majistret Nurshahida Abdul Rahim telah membenarkan kesemua suspek direman selama empat hari.

Iklan

Penahanan bermula Jumaat sehingga 17 Julai, setelah SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini.

Ekoran penahanan itu, sumber memaklumkan, Bahagian Operasi Khas SPRM turut membuat serbuan di beberapa premis perniagaan, pejabat agensi kerajaan serta kediaman di sekitar Lembah Klang, Kedah, Johor, Perak serta Sabah.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.