SHAH ALAM - Kerajaan negeri menyambut baik dan bersedia memudah cara kemasukan syarikat kenderaan elektrik Tesla Inc yang akan membuka ibu pejabat, pusat servis, dan pusat pengalaman di Selangor pada tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu hasil perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc, Elon Musk pada Jumaat.
Menurutnya, pertemuan secara maya itu turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, antara lokasi yang telah dikenal pasti sebagai tapak operasi itu ialah di daerah Petaling serta Sepang.
"Pejabat daerah serta pihak berkuasa berkaitan bersedia memudah cara dan menyelaraskan proses kemasukan pelaburan ini.
"Kehadiran Tesla di Selangor menggambarkan keyakinan komuniti pelabur terhadap pentadbiran ini dan bakal menggalakkan lebih banyak syarikat antarabangsa yang menceburi bidang teknologi bateri untuk melabur di Selangor," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pelaburan itu juga secara tidak langsung meningkatkan keinginan generasi muda untuk mendalami bidang teknologi tinggi khusus dalam industri tenaga bersih.
"Ini bukan sahaja penting dalam industri kereta persendirian tetapi juga penggunaan bateri tenaga bersih dalam industri pengangkutan awam seperti rel, bas, dan van.
"Perkembangan ini juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Selangor sebagai negeri fasiliti 5G paling cekap di Asia Tenggara.
"Ia antara asas untuk menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara yang menawarkan peluang pekerjaan bergaji lebih tinggi kepada orang Selangor khususnya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:Kerjasama Elon Musk bawa puluhan ribu peluang pekerjaan - PM
'Selamat datang Tesla' - Amirudin
Anwar, Elon Musk bincang tingkat capaian internet