Tragedi kepala air: Misi mencabar, banyak kali tercampak dari bot

Iklan
JBPM melakukan pencarian mangsa yang hilang di perairan sungai di Kemaman. Gambar kecil: Zailani

KEMAMAN - Walaupun sudah hampir dua minggu tragedi menimpa 10 mangsa di Jeram Air Putih, di sini, pasukan penyelamat masih tidak berputus asa dan sanggup melupakan keletihan bagi memastikan misi pencarian seorang lagi mangsa, Putri Nur Fatin Karim, 14, ditemui.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Zailani Abdullah memberitahu, misi pencarian kesemua mangsa dalam tragedi kali ini dianggap begitu mencabar selain turut menyifatkan tragedi berkenaan sebagai terburuk sepanjang 12 tahun perkhidmatannya kerana melibatkan jumlah mangsa lemas yang ramai secara serentak.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk keadaan muka bumi yang berbahaya selain jarak pencarian membabitkan kawasan yang luas.

"Keadaan muka bumi di kawasan di sektor A bergunung-ganang, ada jurang dan air terjun selain banyak batu dari kiri kanan. Jadi apabila kita naik bot, tak tahu pun ada batu di bawah.

Iklan

"Beberapa kali bot saya terlanggar batu dan saya juga sebenarnya banyak kali tercampak dari bot semasa tengah turun dari jeram berkenaan," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Sementara itu, Zailani juga tidak dapat melupakan pengalaman menghasilkan sendiri pengusung daripada potongan kayu untuk mengangkat mayat salah seorang mangsa tragedi berkenaan iaitu Putri Alleya Maisarah Karim, 16.

Iklan

Ujarnya, jasad remaja itu ditemukan di atas beting pasir pada ketinggian lima meter ketika operasi dijalankan di sektor A.

"Mula-mula kami mahu terus redah naik bukit tapi memandangkan keadaan bukit itu sangat mencabar untuk naik selain nak tunggu pengusung pun mungkin mengambil masa lama, jadi kami putuskan buat pengusung sendiri.

"Ia mudah sahaja...potong kayu dalam dua hingga tiga meter dan letak atas bot. Kemudian susun kayu itu dan letakkan mangsa yang sudah dimasukkan dalam beg plastik di atasnya (pengusung kayu) sebab nak bawa mayat turun ke tempat ada akses kenderaan polis untuk dibawa ke pusat operasi dengan segera," jelasnya.

Beliau menambah, meskipun operasi berkenaan berdepan cabaran, namun demi tanggungjawab diamanahkan setiap anggota penyelamat perlu sanggup mempertaruhkan keselamatan diri sendiri demi memastikan kesemua mangsa ditemui segera.

"Memang kejadian itu sangat menyayat hati kerana melibatkan satu keluarga dengan jumlah yang ramai. Kita masih meneruskan operasi untuk mengesan mangsa terakhir dan diharapkan mangsa itu dapat ditemui segera," jelasnya.

Pada Rabu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar memaklumkan operasi SAR mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih, Kemaman telah meliputi 100 peratus kawasan pencarian di ketiga-tiga sektor membabitkan keluasan 59.1 kilometer (km) sehingga kuala Sungai Kemaman.

Beliau berkata, bagaimanapun sehingga kini masih tiada petunjuk baharu berjaya ditemukan pasukan pencarian bagi mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14.

Setelah seminggu pencarian, sembilan mayat ditemukan dan telah selamat dikebumikan, namun Putri Nor Fatin masih gagal dikesan hingga kini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Mayat ketujuh disahkan Putri Balqis Izzati

Tragedi kepala air: Mayat ketujuh ditemukan

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung cari 3 lagi mangsa

Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air

Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal

Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air