KUALA TERENGGANU - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menafikan dakwaan kononnya beliau telah menyogok pelajar dengan memberikan wang ketika menyertai program bersama pelajar Tingkatan Enam di Hulu Terengganu, Rabu lalu.
Jelas beliau, wang dalam sampul tertera gambar dan namanya itu diberikan sebagai hadiah kepada peserta program yang mengakui telah mengikut akaun TikTok miliknya.
"Bila nak bagi (duit) takkanlah nak hulur macam tu je. Mestilah ada sampul dan kebetulan ketika itu hanya sampul itu sahaja saya ada dan sampul itu jugalah yang saya guna untuk bagi sumbangan kepada semua orang," katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Dr Muhamad Akmal sebelum itu mengadakan pertemuan bersama pelajar pada Majlis Penutup Program Motivasi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Terengganu dan Icon Talk di Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Beliau berkata, apa yang dilakukan itu tidak mempunyai sebarang niat untuk meraih undi apatah lagi program yang dijalankan itu adalah program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dihadiri pelajar.
Bagaimanapun katanya, apa yang berlaku itu akan dijadikan sebagai iktibar kerana menyebabkan ia ditularkan di media sosial.
"Kalau rasuah tu yang ada 'sumpah' semua. Itu rasuah, sumpah kena undi parti A atau parti B.
"Kali ini saya bagi tanpa ada sebarang niat. Dia nak undi siapa terserah, yang penting kita bagi kerana ikhlas dan tak ada isu pun. Isu ni sebab orang 'sebelah sana' ketandusan isu nak 'attack' kita (BN). Tapi tak mengapa, saya ambil itu sebagai (pengajaran) positif, mungkin juga ada silap saya," katanya.
Rabu lalu tular di media sosial dakwaan mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu telah mengagihkan wang kepada peserta program bagi tujuan meraih sokongan dan undi kepada BN pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos depan.