KOTA KINABALU - Anggota penguat kuasa antara tiga individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan warga asing di negeri ini.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 35 hingga 50-an itu ditahan selepas diminta hadir ke Pejabat SPRM Sabah pada jam 6 petang Khamis.
Menurut sumber, anggota penguat kuasa terbabit disyaki menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM12,000.
Suspek yang bertugas di Tawau dipercayai bersubahat dengan dua lelaki sebagai orang tengah bagi melepaskan warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Difahamkan, warga Indonesia terbabit dipercayai keluar dari Tawau untuk ke Kuala Lumpur tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tawau.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
"Semua suspek akan ditahan selama 24 jam bagi tujuan siasatan lanjut.
"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009," katanya.
Sebelum itu, tangkapan terbabit dilakukan dengan kerjasama dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).