SHAH ALAM - Pengguna di media sosial bersetuju sekiranya pelaksanaan akta baharu kepada pihak yang memainkan isu 3R (agama, raja dan kaum) wajar diwujudkan.
Berdasarkan undian di laman Twitter Sinar Harian @SinarOnline bertajuk ‘wajarkah wujudkan satu akta baharu bagi menghukum pihak yang mempermainkan isu 3R (agama, raja dan kaum)?’, sebanyak 87 peratus daripada 325 undian memilih perlu ada manakala 13 peratus lagi mengatakan sebaliknya.
Undian di Instagram turut menunjukkan peratusan yang sama dengan lebih ramai bersetuju mengenai perkara tersebut.
Pada Jumaat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengkaji keperluan untuk menubuhkan satu unit khas bagi meneliti kes berkaitan dengan isu 3R yang sering dimainkan semasa tempoh pilihan raya.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ia susulan data yang dikeluarkan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan melihat sebilangan besar isu tersebut dimainkan dalam tempoh singkat.
Sementara itu, di ruangan komen Facebook Sinar Harian, seorang netizen bernama Khairuz Zaman berkata, tindakan mewujudkan akta itu adalah sangat wajar bagi memelihara keharmonian negara.
"Memperkukuh Perlembagaan Persekutuan dalam memelihara keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama,” ujarnya.
Bagi Syarul Dean, akta baharu dapat melindungi institusi agama, Raja-Raja Melayu dan pemimpin daripada sebarang kenyataan yang boleh menggugat kestabilan negara.
Pemilik akaun Azmi Ami pula menyokong sepenuhnya jika kerajaan sedia mewujudkan akta baharu dengan hukuman lebih berat kepada pihak yang memainkan isu 3R.
"Saya sangat setuju 100 peratus," tegasnya.