Pemergian Mat London kehilangan besar industri filem negara

Iklan
Pelakon Datin Fadilah Mansor menyiram air mawar di pusara bekas suaminya, Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Taman Melawati pada Jumaat.- Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Jenazah Allahyarham Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Taman Melawati di sini pada jam 2.48 petang pada Jumaat.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati selepas solat Jumaat dengan dihadiri ahli keluarga dan rakan-rakan industri perfileman.

Iklan
Iklan

Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia Khalil Saleh berkata, kehilangan Ahmad satu kehilangan besar kepada industri perfileman negara kerana sumbangan Allahyarham dalam memperjuangkan kepentingan hak pemain industri berkenaan.

"Allahyarham adalah seorang yang cukup komited, dia seorang yang sangat menyumbang, dia pegang FDAM pun lama, jadi, dia pun mempunyai anak murid yang ramai dalam industri ini. Saya selalu ikut ke mana saja program yang dibawa, kebanyakan nasihat, saranan dan pendidikan filem sentiasa meniti di mulutnya.

Iklan

"...walau berada dalam keadaan bekerja sekali pun kegemaran dia memang suka mengajar orang, sebab itu dia dikenali di seluruh peringkat industri filem.

"Pada hari yang mulia dan cukup indah ini dia pergi membawa seribu kenangan dan kami sangat terasa dengan pemergiannya," katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Al-Mardhiyah pada Khamis.

Iklan

Penerbit filem Datuk Yusof Haslam yang telah mengenali Allahyarham sejak awal penglibatannya dalam industri perfileman sekitar 80-an berkata, beliau amat senang dengan keberadaan Ahmad yang disifatkan sebagai 'sempoi' dan tidak meninggi diri.

"...sepanjang saya kenal dia dan masa itu anak-anak saya baru muncul sebagai pengarah filem. Dia beritahu, jangan pernah halang anak-anak saya untuk berkarya kerana industri ini (filem) perlukan anjakan generasi baharu," katanya.

Bagi pelakon Deen Maidin atau nama sebenarnya Shamsuddin Maidin yang terkenal dengan watak Detektif Lingam dalam drama bersiri Gerak Khas pula berkata, Allahyarham merupakan seorang anak seni yang sangat komited dalam karyanya selain tegas dengan pendirian.

"Kalau nak cerita tentang sumbangan, banyak sebab dia orang lama, bayangkan sebelum zaman digital lagi. Masa semua masih manual dia dah berkecimpung dalam bidang ini dan dia memang berjuang untuk industri seni.

"Dia ialah seorang yang suka bersuara. Dia bukan jenis nak diam, duduk relaks, ikut sahaja, dia bukan pengikut, dia pemimpin. Kalau dia rasa nak buat sesuatu, dia buat, kalau rasa nak bangkang, dia akan cakap. Dia memang menghambakan diri untuk industri, dia memang sayang bidang ini," katanya.

Mat London yang juga pengarah turut dikenali sebagai pelakon menerusi drama komedi bersiri Kampong Pisang Bersiri-Siri arahan Allahyarham Mamat Khalid membawa watak Pak Karim.

Allahyarham yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur sejak 16 Jun lepas akibat jangkitan paru-paru, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5.57 pagi tadi. - Bernama