SHAH ALAM - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor digesa membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan dikeluarkan yang didakwa menghina Sultan Selangor semasa sesi ceramah di Selayang pada Selasa.
Ahli Dewan Diraja Selangor, Datuk Emran Kadir berkata, permohonan maaf itu perlu dilakukan dengan kadar segera kerana perkara tersebut tersebar luas di media sosial.
"Perbuatan menghina institusi diraja negeri lain adalah tidak wajar dilakukan oleh mana-mana individu.
"Kenyataan beliau (Muhammad Sanusi) kita anggap menghina institusi diraja Selangor dan mempertikaikan pelantikan menteri besar yang telah dibuat,” katanya kepada pemberita selepas selesai membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam pada Jumaat.
Laporan polis itu dibuat Emran bersama empat lagi Ahli Dewan Diraja Selangor iaitu Tan Sri Ambrin Buang, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, Tan Sri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Mohammed Khusrin Munawi.
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Menerusi video tular dipercayai ketika menyampaikan ceramah, Mohamad Sanusi juga turut didakwa meremehkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Ucapan Muhammad Sanusi itu dimuat naik di banyak saluran media sosial seperti Youtube, TikTok, Facebook dan Twitter.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai respons pihak Istana Selangor, Emran berkata, Sultan Selangor tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut.
Tambahnya, laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan dan tindakan diambil.
"Beliau (Muhammad Sanusi) tidak sepatutnya mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh Sultan Selangor berhubung pelantikan menteri besar sama ada layak atau tidak,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
'Itu sikap sebenar Sanusi' - Amirudin
Hina Sultan: AMK Selangor akan buat laporan polis terhadap Sanusi
"Sanusi perlu buat taubat Nasuha'' - Ahmad Zahid
'Kenyataan Menteri Besar Kedah melampau, kurang ajar'
Hina Sultan: AMK Selangor buat laporan polis
Hina Sultan: Pihak berkuasa perlu buka kertas siasatan terhadap Sanusi