Nova tuntut Tang Jie-Ee Wei konsisten dalam tiga kejuaraan BWF

Iklan
Ee Wei (kiri) dan Tang Jie. - Foto Badminton Photo

JURULATIH beregu campuran negara Nova Widianto mahu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan aksi konsisten dalam tiga siri kejohanan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) terdekat ini bagi mencerahkan peluang berada dalam kelompok 10 pasangan terbaik dunia.

Katanya, Tang Jie-Ee Wei perlu memberikan sepenuh tenaga pada tiga kejohanan yang akan disertai iaitu Terbuka Korea 2023 (18-23 Julai), Terbuka Jepun 2023 (25-30 Julai) dan Terbuka Australia (1-6 Ogos).

Iklan
Iklan

Malah tegasnya, adalah penting bagi pasangan negara yang berada pada ranking ke-14 dunia tersebut mengambil serius setiap kejohanan kerana pihak lawan kini mengkaji corak permainan mereka yang menunjukkan peningkatan drastik selepas hanya digandingkan hujung tahun lepas.

"Waktu latihan untuk ke ketiga-tiga kejohanan ini lebih panjang jadi kami manfaatkan sebaiknya. Kena kaji apa kekurangan mereka, jadi dari situ kami akan bincang macam mana nak baiki cara permainan.

Iklan

"Saya harap hasil mereka di kejohanan Korea, Jepun dan Australia bagus sebab ia bakal menentukan peluang menjadi (pasangan) 10 terbaik dunia. Kalau mereka bagus dan berada dalam kalangan 10 beregu terbaik dunia, mereka boleh bermain pada Kejohanan Dunia di Copenhangen, Denmark," katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia,Kuala Lumpur pada Jumaat.

Berdasarkan pemerhatian, jurulatih berusia 46 tahun itu berkata, pasangan muda itu masih belum konsisten apabila tidak memberikan aksi maksimum terutama ketika bertemu lawan sama taraf atau kurang.

Iklan

Bagaimanapun, Nova yakin anak buahnya itu mampu terus melakar kejayaan selepas merangkul empat gelaran sebelum ini iaitu Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2022, Cabaran Antarabangsa Iran 2023, Kejohanan Badminton Orleans Masters 2023 dan Terbuka Taiwan pada bulan lalu.

"Mungkin masalahnya belum konsisten, contohnya bila jumpa pemain bagus mereka yakin tetapi bila jumpa sama atau bawah sikit, mereka main tak maksimum, main macam biasa sahaja.

"Namun, mereka sudah juara (Super 300), jadi harap lepas ini mereka boleh capai tahap 500 dan 1000 macam di Australia (Super 500) dan Terbuka Korea (Super 500)," katanya. - Bernama