SKUAD Harimau Selatan terlalu unggul untuk The Red Warriors (TRW) apabila melakar kemenangan mudah 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Jumaat.
Beraksi selaku pasukan pelawat, Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak diberikan laluan mudah apabila barisan muda Kelantan FC memberikan tentangan sengit.
Bagaimanapun, kealpaan benteng tuan rumah dihukum JDT menerusi rembatan kencang oleh Fernando Forestieri pada minit kelapan.
Minit ke-22, JDT menambah derita Kelantan FC apabila Oscar Arribas menanduk masuk gol kedua dan keputusan itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Kelantan FC terus berjaya menyerap tekanan sekali gus menyaksikan pelawat terus bekerja keras untuk menambah jaringan.
Pelawat bangkit selepas dengan menambah dua jaringan pada minit ke-60 dan 64 masing-masing menerusi Forestieri serta Bergson Da Silva.
JDT terus berpesta apabila pemain gantian Akhyar Rashid menambah gol kelima pada minit ke-77.
Harimau Selatan terus bernafsu menambah jaringan, namun benteng Kelantan FC kukuh mengekang asakan bertali-arus pelawat.
Keputusan 0-5 itu kekal hingga tiupan wisel panjang sekali gus menyaksikan Harimau Selatan gah dipuncak Liga Super.