KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengutuk tindakan rejim Zionis Israel yang melancarkan serangan bertubi-tubi dari udara dan darat di Gaza sejak Jumaat lepas.
Katanya, tindakan rejim itu dikutuk sekeras-kerasnya, terutama ketika umat Islam di Palestin dan di seluruh dunia sedang mengadakan persiapan untuk menyambut Ramadan.
"Difahamkan, tindakan tidak berperikemanusiaan ini telah menyebabkan kira-kira 12 penduduk Palestin termasuk seorang wanita hamil serta bayi perempuan berusia 14 bulan maut.
"Kerajaan (Malaysia) konsisten memberi sokongan terhadap rakyat Palestin dan mengecam Israel.
"Ini dapat dilihat melalui kenyataan YAB Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73 di New York, September tahun lalu yang mengecam rejim itu kerana menceroboh Palestin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia serta masyarakat dunia mengutuk tindakan Israel itu ketika ini.
Serangan itu bermula selepas dua warga Palestin ditembak mati oleh pasukan keselamatan Israel semasa bantahan berhampiran tembok perimeter Israel-Gaza.
Pejuang Palestin bertindak balas dengan menembak dan mencederakan dua anggota tentera Israel. -Bernama