Saya perlu kekal fokus - Azeem

Iklan
Azeem

JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi menyifatkan menjadi satu-satunya wakil dari Asia Tenggara beraksi dalam acara final 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Asia 2023 merupakan satu pencapaian besar buat dirinya dan Malaysia.

Malah dia bertekad akan meneruskan misi catatan 10 saat (s) di Kejohanan Olahraga Dunia dan Sukan Asia di Hangzhou, China pada September ini.

Iklan
Iklan

"Ia sentiasa menjadi matlamat saya untuk melakukan catatan bawah 10s. Apa yang tidak dicapai hari ini, saya akan bawa ke kejohanan seterusnya. Saya mahu menjadi pelari pecut pertama Malaysia dan Asia Tenggara melakukan bawah 10s.

"Saya tahu saya mampu lakukannya. Saya tahu kemampuan saya. Oleh itu, saya perlu kekal fokus, bersemangat, sihat dan percaya dengan rezeki. Masanya akan tiba," katanya.

Azeem menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik Asia apabila menamatkan perlumbaan 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand pada Jumaat.

Iklan

Terdahulu Azeem Mohd Fahmi menamatkan saingan final 100 meter (m) di tempat kelima di Stadium Nasional Suphachalasai pada Jumaat dengan catatan masa 10.25 saat (s) catatan sama dilakukan wakil Qatar, Femi Aeun Ogunode yang berada di tempat keempat.

Pingat emas menjadi milik pelari Jepun, Hiroki Yanagita dengan catatan 10.02s diikuti Abdullah Abkar Mohammed (Arab Saudi) dengan catatan 10.19s untuk perak manakala Hassan Taftian (Iran) meraih gangsa dengan 10.23s.

Iklan

Terdahulu pada aksi separuh akhir acara riben biru itu, pelari berusia 19 tahun tersebut yang baru pulih sepenuhnya kecederaan pangkal paha kanan, melakukan catatan 10.35s untuk berada di kedudukan kedua saringan pertama.

Sebagai rekod, Azeem yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) merupakan pelari paling muda dan satu-satunya wakil Asia Tenggara berada di garisan permulaan final.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara 100m adalah menerusi Watson Nyambek yang membawa pulang perak ketika edisi Fukuoka 1998 di Jepun.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara Khairul Hafiz Jantan terkandas pada separuh akhir saringan kedua apabila menamatkan saingan di tempat keenam dengan catatan 10.50s.

Kategori wanita pula menyaksikan Zaidatul Husniah Zulkifli gagal menempatkan diri dalam kelompok final apabila menamatkan saingan dengan catatan 11.67s untuk tempat kelima.

Dalam perkembangan lain, atlet lempar cakera wanita negara Quenee Ting Kung Ni menamatkan saingan di tempat keenam selepas melakukan balingan sejauh 49.30 meter (m) dalam aksi final.

Sementara cabaran atlet lempar cakera Nur Atiqah Sufiah Md Hanizam pula berakhir di tempat ketujuh dengan balingan 43.55m.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia adalah pada 2007 apabila meraih dua emas menerusi Lee Hup Wei dalam acara lompat tinggi dan Roslinda Samsu (lompat bergalah wanita) dengan pingat terakhir kontinjen adalah pada edisi Bhubaneswar 2017 India menerusi jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin.

ARTIKEL BERKAITAN:Azeem kelima terbaik Asia

Azeem ke final, Khairul Hafiz kandas