PORT DICKSON - Bayi perempuan masih bertali pusat ditemui di dalam kotak di hadapan pagar sebuah rumah di Lukut di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan bayi berkenaan pada jam 10.15 pagi daripada seorang suri rumah.
Iklan
Iklan
"Pengadu berusia 44 tahun mendakwa ketika keluar untuk membuang sampah, dia melihat sebuah kotak di hadapan pagar rumahnya.
"Wanita itu terkejut sebaik mendapati ada bayi dibalut dengan kain pelekat dalam kotak itu dan segera membawanya ke Balai Polis Lukut," katanya.
Menurutnya, pihaknya menghubungi Klinik Kesihatan Lukut dan pemeriksaan dilakukan mendapati bayi yang masih bertali pusat dan terdapat uri bersamanya itu masih hidup.
"Bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai atau mana-mana klinik yang menerima kehadiran wanita untuk mendapatkan rawatan berkenaan kelahiran supaya menghubungi balai polis yang berhampiranm," katanya.