Pekerja kilang maut, motosikal bertembung lori

Iklan
Kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan lori yang meragut nyawa seorang pekerja kilang di KM35 Jalan Temerloh Bahau pada Sabtu. - Foto ihsan PDRM

BERA - Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 35 Jalan Temerloh Bahau di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 9.39 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Faris Halimin Azlin, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir memberitahu, kejadian melibatkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR dengan lori jenis Rigid-Kargo.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori yang dipandu lelaki berusia 67 tahun dari arah Temerloh ke Triang mahu mengisi minyak diesel.

Iklan

"Motosikal ditunggangi mangsa dari arah Kemayan menghala Temerloh berlanggar dengan lori terbabit di depan simpang jalan lama Triang Bahau," kata beliau dalam kenyataan pada Sabtu.

Ujar beliau, penunggang tercampak bersama motosikalnya dan akibat daripada kemalangan tersebut mangsa maut manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

Tambah Zulkiflee, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu lori.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut diteruskan.