SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa mengambil tindakan disiplin terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi kerana didakwa telah melanggar etika anggota perlembagaan parti itu.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Prasanth Kumar Brakasam berkata, beliau telah membaca dan teliti secara mendalam permohonan maaf Najwan berkenaan komen terhadap calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru, M Sivaranjani yang bersifat perkauman.
Menurutnya, komen bersifat perkauman tidak sepatutnya dibuat seorang pemimpin dalam PKR kerana umum mengetahui parti itu merupakan parti yang berbilang kaum dan agama.
"Komennya telah mengguris hati para penyokong dan anggota India dalam PKR serta masyarakat India secara keseluruhan.
"Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat serius dalam menangani isu yang menyentuh sensitiviti agama, raja dan kaum (3R).
"Secara jelas, komen Najwan telah melanggar kod tataetika anggota dalam perlembagaan parti di bawah klausa 10.1.6 dan 10.2.6 dan perkara ini harus dirujuk kepada pihak Lembaga Disiplin untuk proses seterusnya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau menambah, isu tersebut tidak harus dijadikan senjata atau ruang kepada pihak pembangkang untuk menyerang Kerajaan Perpaduan.
"Ia harus dijadikan pengajaran kepada kita semua dalam menjaga sensitiviti 3R," katanya.
Najwan membuat permohonan maaf susulan tangkap layar komen dibuatnya di kumpulan WhatsApp PKR mula tersebar di ruang media sosial.
Menerusi tangkap layar itu, pemimpin PKR itu menulis 'parti India estet' sebagai reaksi balas terhadap laporan berita pengumuman PSM yang mencalonkan Sivaranjani untuk DUN Meru.
ARTIKEL BERKAITAN: