SUNGAI PETANI - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM9.2 juta yang memanfaatkan 892 penerima pada Program Sentuhan Kasih Desa Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) Negeri Kedah di Dataran Amanjaya Mall, dekat sini pada Sabtu.
Replika cek bantuan diserahkan kepada penerima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diiringi Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Antara bantuan yang diperuntukkan adalah daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bagi kelulusan Bantuan Keseluruhan Program berjumlah RM4.82 juta kepada 473 orang penerima.
Program tersebut meliputi Projek Pertanian Petani Luar Bandar (PPLB) berjumlah RM1.2 juta kepada 76 orang penerima, Projek Intergrasi Pembangunan Kawasan Terpilih (PIKAT) berjumlah RM920,000 kepada 121 penerima, Program Keusahawanan KEDA berjumlah RM1.5 juta kepada 100 penerima dan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) Negeri Kedah kepda 176 penerima berjumlah RM1.2 juta.
Bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) pula meliputi Program Pembangunan Usahawan dan Agromakanan Negeri Kedah bagi tahun 2023 bernilai RM3.86 juta kepada 415 penerima.
Bahagian Pembangunan Usahawan Desa (UD) menerusi Bantuan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) pula menyampaikan RM480,000 kepada empat penerima bagi negeri Kedah.
Anwar dalam ucapannya berkata, rakyat terutamanya golongan usahawan desa diminta tidak mendengar pandangan 'tidak berguna' pihak lain terhadap usaha Kerajaan Perpaduan untuk memperkasakan ekonomi golongan berkenaan.
Menurutnya, peranan agensi serta kerajaan dalam membantu rakyat boleh diukur daripada apa yang sudah dilaksanakan dan bukannya berdasarkan janji yang dilafazkan.
"Hari ini Karnival Usahawan Desa ini direncanakan berbulan lalu, saya minta Ahmad Zahid untuk memberi ruang mengangkat lagi martabat (usahawan desa) dan strategi diselarikan dengan kegiatan halal.
"Kita tahu halal ini sekarang bukan hanya di negara Islam. Negara China dikembangkan hingga ke Eropah dan tentunya di negara Arab, maknanya peluang memang ada.
"Selarikan dan dengar pandangan serta nasihat supaya kita dapat tingkatkan mutu pengeluaran untuk mendapat hasil lebih baik," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, usahawan desa perlu merebut peluang yang kini terbuka luas untuk mereka berikutan kebolehan pasaran industri halal dijangka bernilai AS$5 trilion menjelang 2030.
Hadir sama Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Program Sentuhan Kasih Desa Mini KUD ini diadakan di enam negeri selepas Negeri Sembilan menjadi lokasi pertama, Kedah dan Pulau Pinang menjadi lokasi kedua dan seterusnya akan ke Selangor, Kelantan dan Terengganu.