KELIBAT pemain import baharu Nurillo Tukhtasinov menjadi taruhan Terengganu FC (TFC), apabila berhadapan PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada Ahad.
Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, Nurillo yang pernah dinobatkan sebagai pemain tengah terbaik Liga Uzbekistan, tiba di Terengganu beberapa hari lalu dan terus menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukan lain.
Katanya, pemain berusia 26 tahun itu tidak menghadapi masalah untuk membina keserasian dan memahami corak latihan serta permainan yang diinginkannya walaupun masih baharu.
"Saya rasa dialah yang kita perlukan. Dia seorang pemain tengah... saya amat berharap yang dia boleh sumbangkan sesuatu dan perbaiki pasukan kami. Kita akan lihat prestasi dia buat pertama kalinya pada Ahad,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus pada Jumaat.
Dalam pada itu pengendali kelahiran Croatia itu, turut mengingatkan para pemain TFC supaya berwaspada dengan ancaman skuad The Cops, yang telah mempamerkan prestasi baik dalam beberapa perlawanan terakhir mereka.
Katanya, skuad Penyu tidak memiliki pilihan lain selain mengutip tiga mata sekiranya tidak mahu jatuh ke kedudukan lebih rendah dalam Liga Super.
"Saya ikuti empat perlawanan terakhir PDRM. Perlawanan terakhir mereka kalah kepada Kedah, tetapi itu pun kerana penalti. Sebelum itu mereka menang tiga perlawanan berturut-turut iaitu ketika bertemu Sabah, Selangor dan Kelantan.
"Keputusan itu menunjukkan mereka satu pasukan yang bagus, kuat dan berdisiplin. Kita perlu berada dalam keadaan terbaik untuk mengutip tiga mata penuh,” katanya. - Bernama