Polis selamatkan lima remaja warga asing jadi buruh paksa

Iklan
Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah kilang barangan terpakai di Kampung Jawa di sini pada Jumaat.

KLANG - Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menyelamatkan lima remaja bawah umur warga asing yang dieksploitasi sebagai buruh paksa dalam serbuan di sebuah kilang barangan terpakai di Kampung Jawa, di sini, pada Jumaat.

Serbuan pada jam 4 petang itu adalah hasil risikan oleh Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), D3, JSJ, Bukit Aman bersama Pasukan Khas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Iklan
Iklan

Ketua Penolong Pengarah D3 ATIPSOM, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, lima remaja yang diselamatkan di bawah Akta Atipsom itu terdiri daripada tiga remaja perempuan dan dua remaja lelaki warga berusia 14 hingga 17 tahun.

"Hasil siasatan awal, mereka bekerja di kilang berkenaan sejak enam bulan lalu dan dibayar sebanyak RM50 sehari," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Fadil berkata, seramai 72 warganegara asing ditahan kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan Imigresen seperti tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah serta menyalahgunakan pas permit kerja.

"Kesemua warga asing yang ditahan terdiri daripada 28 lelaki warga Myanmar, 12 lelaki warga Bangladesh, empat lelaki warga China dan seorang lelaki warga India.

Iklan

"Kita turut menahan dua wanita warga Myanmar dan seorang wanita warga China," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Fadil berkata, fokus operasi ini adalah mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (ekploitasi buruh paksa) dengan berpandukan kepada indikator National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) yang dibangunkan untuk membantu agensi penguatkuasa.

"Kita turut melakukan tangkapan terhadap tiga lelaki warga China berusia 36 hingga 37 tahun disyaki berperanan sebagai pengurus dan pembantu pengurus kilang," katanya.

Beliau berkata, kilang berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan dan dipercayai telah beroperasi lebih kurang setahun.

"Mangsa dan semua tangkapan warga asing itu merupakan pekerja kilang tersebut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Atipsom 2007, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.