ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Kerajaan tetap meletakkan kebajikan veteran tentera sebagai keutamaan, walaupun terdapat perubahan atau penyelarasan dalam pemberian pencen kepada bekas anggota, terutama yang berpencen rendah.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ini termasuklah memperhalusi beberapa cadangan selepas pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP), yang akan ditamatkan pada Disember ini agar tidak menjejaskan kebajikan anggota veteran tentera.
"Ini kerana MVK merupakan tempat terbaik untuk kita berbincang persoalan tersebut, memandangkan ia majlis tertinggi dalam menentukan hala tuju dan kebajikan anggota veteran dengan wakil-wakilnya terdiri daripada persatuan-persatuan veteran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Outreach dan CSR Perkeso 2023, di Felda Tun Ghafar, Hutan Percha pada Sabtu.
Media sebelum ini melaporkan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) memohon agar kerajaan meneruskan pemberian PKKP pada tahun-tahun seterusnya, sebagai menghormati dan menghargai jasa perkhidmatan serta pengorbanan anggota vateran kepada negara.
Ini berikutan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun lepas mengisytiharkan pindaan undang-undang berkaitan pencen yang membenarkan kenaikan dua peratus setiap tahun bermula 2013 adalah tidak sah, namun mesyuarat kabinet mengumumkan bayaran yang sudah dibayar tersebut akan dianggap sebagai PKKP dan diteruskan hingga Disember ini.
Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata seramai 10,129 anggota Pasukan Sukarelawan Angkatan Tentera Malaysia termasuk 6,800 anggota Askar Wataniah, telah dicarumkan di bawah Skim Perkerjaan Sendiri (SPS) Madani setakat 9 Julai lepas. - Bernama