PETALING JAYA - Semua perniagaan digesa mengambil pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) dan memberi peluang kepada golongan itu untuk membuktikan kemampuan mereka.
Wakil mahasiswa dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Muhammad Naqib Emir Abdullah berkata, semua perniagaan di Malaysia perlu mengambil pekerja OKU sekurang-kurangnya satu peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja yang digajikan.
"Kemudahan dan fasiliti mereka perlu bersifat ‘universal design’ supaya golongan itu mampu bekerja dan membantu urus niaga sesuatu perniagaan,” katanya ketika Konvensyen Suara Anak Muda, pada Sabtu.
Pada masa sama, Muhammad Naqib menegaskan, mentaliti berkaitan golongan OKU perlu diberikan simpati perlu dihentikan.
Katanya, pemikiran dan falsafah berkenaan sebenarnya telah membunuh hak dan peluang OKU di Malaysia kerana stigma yang wujud itu dianggap prejudis dan diskriminasi terhadap mereka.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa majikan melalui polisi swasta untuk membayar elaun minimum sekurang-kurangnya RM500 sebulan kepada pelajar praktikal bagi menampung kos harian mereka.
"Keadaan ini selari apabila golongan mahasiswa merasakan mereka seperti buruh percuma sewaktu menjalankan latihan industri kerana terpaksa menanggung kos penginapan, pengangkutan dan makanan.
"Secara minimumnya, mahasiswa terpaksa membelanjakan sebanyak RM25 untuk menampung perbelanjaan harian. Jika dihitung selama 30 hari, ia menelan kos sebanyak RM750 sebulan,” ujarnya.
Beritahu Muhammad Naqib, perkara tersebut perlu diteliti dan dilaksanakan segera kerana banyak manfaat yang boleh mahasiswa terima di samping mengurangkan tekanan perbelanjaan harian.