Balu Raja Libas negara terharu terima khairat kematian

Iklan
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim (tengah) menyerahkan cek kepada balu Raja Libas Negara, Suraya Abdullah (dua,kiri) ketika penyerahan khairat kematian di kediaman Allahyarham Adnan Saidin di Taman Utama, di sini, pada Sabtu.

BALU kepada Raja Libas tanah air, Allahyarham Adnan Saidin terharu apabila menerima sumbangan Khairat Kematian sebanyak RM3,000 daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) selepas pemergian suaminya pada Mei lepas.

Suraya Abdullah, 53, kelihatan sebak dan menitiskan air mata hingga mewujudkan suasana pilu ketika menerima cek sumbangan khairat kematian itu.

Iklan
Iklan

Suraya berkata, dia masih terkenangkan arwah suaminya meskipun legenda sukan sepak takraw telah pergi menghadap ilahi kira-kira dua bulan lalu.

"Secara tiba-tiba, saya berasa sedih dan teringatkan arwah ketika menerima cek daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Iklan

"Tambahan pula, hari ini (15 Julai) genap dua bulan selepas arwah suami menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 66 tahun pada 15 Mei lepas," katanya ketika ditemui selepas penyerahan khairat kematian oleh Adam Adli di kediaman Allahyarham di Taman Utama, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Iklan

Justeru kata Suraya, mereka sekeluarga berterima kasih atas keprihatinan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) khususnya Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan Yakeb yang turun padang bertanya khabar dan memberi bantuan kepada keluarga bekas atlet seperti mereka.

Sementara itu, Adam Adli berkata, kerajaan telah mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM5 juta kepada Yakeb untuk membantu lebih ramai bekas atlet negara sebelum ini.

Beliau berkata, peruntukan terbabit dan sumbangan dari pihak lain diharapkan dapat digunakan Yakeb untuk membantu lebih 3,000 ahli berdaftar di seluruh negara.

Menurut Adam Adli, Yakeb akan terus memantau keperluan, kebajikan dan tahap kesihatan bekas atlet negara terbabit dari semasa ke semasa, sekali gus menyalurkan bantuan bersesuaian untuk mereka.

Dalam perkembangan sama, kata beliau, sumbangan khairat kematian ini diharapkan sedikit sebanyak membantu keluarga legenda sukan sepak takraw itu.

Menurut Noorul Ariffin, Yakeb sentiasa mengutamakan dan menitikberat kebajikan ahli khususnya atlet dan ahli keluarga mereka yang berada di bawah yayasan melalui 12 skim bantuan ditawarkan

"Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Yakeb telah menyalurkan bantuan melalui pelbagai skim khas dianggarkan lebih RM270,000 bagi membantu seramai 332 orang.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM28,000 bantuan diperuntukkan membabitkan khairat kematian," katanya.