PRN: Ahli MCA dinasihat bersedia beri sokongan kepada calon BN

Iklan
Wee Ka Siong

GEORGE TOWN - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong meminta semua ahli parti supaya bersedia untuk memberikan sokongan kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya enam negeri bulan depan.

Beliau berkata, walaupun MCA membuat keputusan untuk tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, namun ahli parti itu harus bersedia memberi kerjasama kepada calon-calon dari BN.

Iklan
Iklan

"Kita dalam satu gabungan dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan harus melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan kemenangan calon-calon BN pada PRN nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen tahunan MCA Pulau Pinang pada Sabtu.

Beliau mengulangi pendirian parti itu untuk tidak bertanding pada PRN kali ini bagi memberi tumpuan kepada persiapannya menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.

Iklan

Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah dan Terengganu akan berdepan PRN pada 12 Ogos ini setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu lepas mengumumkan PRN di keenam-enam negeri itu diadakan serentak manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

Sementara itu, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam menasihatkan semua pengundi di negeri-negeri yang terlibat dalam PRN tersebut agar mengundi dengan bijak supaya wakil rakyat mereka nanti boleh membawa suara akar umbi dan dapat melakukan perubahan yang diperlukan. - Bernama

Iklan