Sumpahan Jerunei: Labur RM5 juta, rombak skrip 12 kali untuk hasil terbaik

Iklan
Sumpahan Jerunei menjalani penggambaran selama 45 hari melibatkan lokasi di Kuching dan Siburan.

DEMI mendapatkan hasil yang terbaik untuk filem mereka, Sumpahan Jerunei, dua sabahat iaitu Datuk Nancie Foo dan Datin Wendy Weng bekerja keras berulang-alik dari Kuching, Sarawak ke Kuala Lumpur untuk membuat kajian mendalam mengenai budaya dan sejarah Jerunei selama dua tahun.

Cerita Nancie Foo, pihak produksi mendapat kerjasama dari Majlis Adat Istiadat Sarawak, Muzium Sarawak, Persatuan Melanau Kuching dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Sarawak.

Iklan
Iklan

"Pelbagai proses perlu dilalui sebelum mendapat kebenaran dari Majlis Adat Istiadat Sarawak untuk buat kajian berkaitan Jerunei di Mukah disebabkan keturunan itu masih wujud.

"Kami bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, Profesor Datuk Dr Jeniri Amir. Beliau banyak berkongsi maklumat dan memberi nasihat mengenai sejarah Jerunei.

Iklan

"Tidak ketinggalan, kami mendapat pertolongan mendiang Hat Kok Lai, mendiang Eric Michael Toyad dan John Ling dari Majlis Adat Istiadat Sarawak,” katanya.

Tambah Wendy pula, ketika mula membuat kajian mengenai Jerunei di Mukah, pihaknya merasa seperti tidak dialu-alukan.

Iklan

Jelasnya, bukan mudah menterjemahkan sejarah dan budaya Jerunei ke layar filem kerana ia membabitkan penghasilan skrip selama tempoh setahun.

"Kami terpaksa merombak skrip filem sebanyak 12 kali bersama pengarah.

Wendy (kiri) bersama Nancie.

"Ketika mula-mula menghasilkan skrip, saya dan Nancie takut sehingga bulu roma kami juga meremang seperti ada yang mengikut dan memerhatikan kami.

"Namun, keadaan berbeza selepas memutuskan untuk mengangkat naskhah ini ke layar filem,” ujarnya yang pada awalnya merancang menerbitkan dokumentari mengenai kaum itu.

Ditanya mengapa memilih Jerunei untuk difilemkan, Wendy berkata, naskhah ini mengupas rahsia dan misteri di sebalik sejarah dan adat pengebumian golongan bangsawan Melanau.

Ujarnya, Sumpahan Jerunei bukan sekadar cerita seram fiksyen, tetapi ada cerita dan mesej mengenai adat serta budaya unik kaum Melanau yang mahu diketengahkan untuk tontonan, selain bagaimana adat budaya diilhamkan dalam filem.

"Jerunei adalah lambang bersejarah bagi masyarakat Melanau. Ia dijadikan tempat persemadian golongan bangsawan suatu ketika dahulu.

"Ia juga sejenis keranda atau tempat persemadian diperbuat daripada kayu yang tahan ratusan tahun bagi menempatkan hamba atau orang yang dipilih si mati semasa hidupnya.

"Selain itu, filem ini juga memaparkan budaya, pakaian dan makanan orang Melanau yang penuh dengan keunikan. Dari segi mesejnya, jika barang bukan milik anda, jangan ganggu,” katanya.

Sumpahan Jerunei menjalani penggambaran selama 45 hari melibatkan lokasi di Kuching dan Siburan.

Malah bagi memastikan hasil akhir filem ini berkualiti, Wendy berkata, mereka mengeluarkan belanja sebanyak RM5 juta.

"Kos pembikinan filem sangat tinggi kerana membabitkan banyak penggunaan elemen kesan khas, VFX dan teknologi Imej Janaan Komputer (CGI) ketika penggambaran menggunakan skrin biru.

"Kami terpaksa mengeluarkan kos lebih RM100,000 untuk membawa peralatan teknikal dan reka bentuk yang besar dari Kuala Lumpur ke lokasi penggambaran di Kuching.

Sumpahan Jerunei menampilkan Uqasha selaku pelakon utama.

"Selain itu, filem ini membabitkan lebih 100 tenaga kerja membabitkan barisan pelakon, kru dan pelakon tambahan dari rakyat tempatan yang boleh berbahasa Melanau," katanya.

Sumpahan Jerunei arahan Jason Chong menampilkan barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Uqasha Senrose, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Daiyan Trisha, Tony Eusoff, Ruminah Sidek, Yuyun Hikmah dan ramai lagi.

Ia akan mula menjengah pawagam seluruh tanah air pada 27 Julai depan.

Kali terakhir, syarikat Produksi Seni 2020 milik dua sahabat itu menerbitkan filem adalah pada tahun 1994, menerusi filem Red Haired Tumbler Di Malaya.

Karya arahan Eddie Pak itu pernah menerima Anugerah Khas Juri di Festival Filem Malaysia Ke-12 pada 1995, selain menembusi pencalonan New York Asian Film Festival.