Gabungan PH-BN Selangor umum calon 25 atau 26 Julai ini - Amirudin

Iklan
Amirudin (tengah) yang juga Pengerusi PH Negeri Selangor mengadakan sidang akhbar pada majlis Pemukiman Jentera Pilihan Raya Perpaduan Selangor di Shah Alam Convention Centre (SACC) pada Sabtu. - Foto: Bernama

SHAH ALAM - Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor dijangka akan mengumumkan senarai calon dan tawaran manifesto pada 25 atau 26 Julai ini, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor berkata, setakat ini senarai nama calon untuk kedua-dua gabungan itu masih dalam perbincangan dan dijangka dapat diputuskan beberapa hari sebelum tarikh penamaan calon iaitu pada 29 Julai ini.

Iklan
Iklan

"Yang penting kami sepakat kebolehmenangan sebagai formula asas untuk kemenangan untuk meletakkan calon ini hatta dalam bab (agihan) kerusi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pemukiman Jentera Pilihan Raya Perpaduan Selangor pada Sabtu yang turut dihadiri Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Dalam pada itu, Amirudin turut memberi jaminan bahawa tidak akan ada pertembungan kerusi antara PH dan BN Selangor dalam satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam usaha mereka untuk meraih kemenangan PRN nanti.

Iklan

Amirudin berkata, masalah kekeliruan untuk mengundi calon mana tidak akan timbul kerana satu kawasan DUN hanya akan ditandingi oleh satu individu mewakili gabungan itu.

Sementara itu, beliau berkata, program pemukiman yang dilaksanakan itu juga bertujuan untuk menyelaras gerak kerja pilihan raya kedua-dua parti supaya lebih tersusun di samping bersama-sama mencari kekuatan dalam menghadapi PRN.

Iklan

Kedudukan semasa kerusi sebelum DUN dibubarkan pada 23 Jun ialah PH mempunyai 40 kerusi merangkumi PKR (19), DAP (15), Amanah (enam), sementara BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan, masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Kerusi Batang Kali pula diisytiharkan kosong pada Februari lepas, setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. - Bernama