Rice bakat luar biasa buat Arsenal

Iklan
Arteta (kiri) bersama Rice dan Pengarah Sukan Edu (kanan) di Stadium Emirates pada Sabtu. - Foto: Agensi

NAIB juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal menandatangani Declan Rice dengan kontrak jangka panjang dari West Ham United, kata kelab utara London itu pada Sabtu, dengan pengurus Mikel Arteta menyifatkan pemain England itu sebagai bakat luar biasa.

Butiran kewangan mengenai perpindahan itu tidak didedahkan, namun media Britain melaporkan bahawa bayaran untuk pemain tengah itu ialah $105 juta pound, menjadikannya rekod perpindahan tertinggi antara dua kelab Britain.

Iklan
Iklan

"Beliau adalah pemain yang mempunyai kebolehan luar biasa, yang telah beraksi pada tahap tinggi dalam Liga Perdana Inggeris dan untuk England untuk beberapa musim sekarang.

"Declan membawa kualiti yang tidak diragukan kepada kelab dan dia adalah bakat luar biasa yang berpotensi untuk berjaya di sini,” kata Arteta dalam satu kenyataan.

Iklan

Yuran perpindahan pemain berusia 24 tahun itu dipercayai melebihi 100 juta pound yang dibayar Manchester City kepada Aston Villa untuk pemain tengah England, Jack Grealish pada 2021.

Rice juga menjadi pembelian termahal Arsenal, mengatasi 72 juta pound yang mereka bayar Lille untuk Nicolas Pepe pada 2019.

Iklan

Namun yuran itu kurang daripada 107 juta pound yang dibayar Chelsea untuk menandatangani pemain tengah Benfica, Enzo Fernandez tahun ini.

Rice meninggalkan West Ham setelah membimbing The Hammers merangkul kejuaraan Liga Konfrensi Europa dan menduduki tempat ke-14 dalam Liga Perdana Inggeris.

Dia dinobatkan sebagai pemain terbaik Liga Konferensi Europa musim ini selepas mengemudi kemenangan West Ham sekali gus memberikan trofi Eropah utama pertama dalam lebih setengah abad dan gelaran utama pertama sejak Piala FA pada 1980.

"Dia telah mengetuai West Ham dengan sangat bagus dan seperti yang kita semua lihat, dia baru-baru ini menjulang trofi Liga Konferensi Eropah. Tanggungjawab dan peranan yang dia pikul sangat mengagumkan dan kami sangat teruja bahawa dia menyertai kami,” kata Arteta.

Rice memulakan kerjaya mudanya di akademi Chelsea sebelum berpindah ke West Ham pada usia 14 tahun, membuat penampilan sulung seniornya untuk The Hammers pada 2015.

Pemain tengah itu, yang diberi lilitan kapten selepas persaraan Mark Noble pada 2022, bermain lebih daripada 240 perlawanan untuk West Ham, menjaringkan 15 gol.

Rice mewakili Ireland di peringkat remaja tetapi beralih taat setia kepada England pada 2019, membuat penampilan sulungnya pada tahun yang sama.

Dia telah bermain 41 kali untuk The Three Lions memulakan semua lima perlawanan pada Piala Dunia 2022 di Qatar, tahun lalu.

Kehadiran Rice akan mengukuhkan skuad pengurus Arteta selepas pemergian Granit Xhaka, ketika Arsenal ingin sekali lagi mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan bersaing dalam Liga Juara-Juara apabila kelab London itu kembali ke kejohanan buat kali pertama sejak musim 2016-17.

"Saya telah melihat Arsenal sejak beberapa musim lalu dan trajektori yang telah mereka lalui

"Bukan musim lepas tetapi musim sebelum ini, mereka menduduki tempat kelima.

"Namun anda boleh lihat gaya permainan yang Mikel Arteta laksanakan.

"Musim lalu adalah musim yang luar biasa, membuatkan hampir semua pasukan keluar dari air kecuali Manchester City,” kata Rice di laman web Arsenal.

Sebagai rekod, Rice menjadi tandatangan ketiga Arsenal pada jendela perpindahan ini selepas Kai Havertz (Chelsea) dan pertahanan Jurrien Timber (Ajax Amsterdam).

Arsenal berdepan Manchester City juara Liga Perdana Inggeris dan Piala FA dalam Perisai Komuniti pada 6 Ogos.

Selepas itu, The Gunners akan menentang Nottingham Forest dalam perlawanan pembukaan liga pada 12 Ogos.

PERISAI KOMUNITI

6 OGOS

Arsenal lwn Manchester City

(Stdm Wembley, 11 malam)