REVOLUSI kecerdasan buatan yang lebih akrab dengan istilah AI (Artificial Intelligence) sedang giat mengubah cara hidup kita termasuk mempengaruhi ranah karya kreatif.
Dengan kecanggihan teknologi seperti ChatGPT, penulis dengan mudah dan pantas dapat menghasilkan karya seperti puisi, cerpen serta esei, dengan hanya memberikan beberapa arahan berbentuk pertanyaan.
Ia membantu mengatasi kebuntuan kreatif dan menghasilkan karya dengan segera. Meskipun AI membuka peluang dan ruang inovasi yang luas, ia juga menghadirkan ancaman terhadap perkembangan murni serta kreativiti asli dalam pengkaryaan.
Dalam pengkaryaan melalui kepintaran manusia, khalayak penulis menerima pakai empat tahap proses berkreatif yang diperkenalkan John Wesley Horton (1962) iaitu persediaan, pemeraman, pencerahan dan pengesahan.
Sewaktu tahap persediaan, karyawan akan menggabungkan pengalaman, emosi, imaginasi, kemahiran dan pemikiran kompleks dalam menghasilkan gagasan serta idea baharu.
Dari sudut AI, penghasilan melibatkan algoritma, data dan sistem mesin untuk menerbitkan maklumat dikehendaki. Keterbatasan daripada AI terhadap nilai-nilai puitis, estetika dan naluri manusia sukar menandingi kreativiti minda manusia.
Draf awal karya yang terhasil dinasihatkan melalui proses pemeraman yang juga pedoman saranan Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari.
"Walaupun ilham berulang kali tiba ke fikiran penyair, draf pertama karya selalunya tidak masak. Itulah sebabnya draf awal perlu diperam dan diubah berkali-kali.” Demikian petikan kenyataan Rahman yang pernah tersiar di Sinar Harian pada 18 September 2022.
Proses pemeraman memberi ruang lebih luas kepada pengkarya menyempurnakan penghasilan dengan makna lebih mendalam dan pesan lebih berkesan.
Kepintaran minda manusia memungkinkan mereka menyampaikan pemikiran, refleksi, akal dan kebijaksanaan melalui karya sastera dengan gaya penuh pesona serta merangsang pembaca.
Melalui AI, gaya penulisan, pemilihan kata dan keunikan gagasan tidak mampu mencerminkan identiti serta keperibadian penulis.
Sebagai contoh, puisi tradisional karya kebestarian minda orang tua-tua dahulu yang boleh dilihat dalam serangkap pantun berikut:
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang juga.
Mustahil teknologi AI menyaingi kepintaran manusia dalam hal ini. Sewaktu ChatGPT diminta menghasilkan serangkap pantun empat baris tentang budi baik yang sentiasa dikenang atas jasa yang dihulurkan seseorang, berikut adalah hasilnya:
Budi baikmu abadi dalam hati,
Jasa yang dihulurkan tiada terlupa begitu sahaja,
Kau dihargai, terima kasih kusampaikan,
Namamu selalu terkenang, tak pernah terlupa,
Budi baikmu dikenang sepanjang masa,
Jasa yang kau berikan tiada terbandingkan,
Terima kasih dalam hati kusampaikan,
Engkau pahlawan sejati, takkan pernah dilupakan,
Budi baikmu terukir dalam kenangan,
Jasa yang kau lakukan, selalu terkenang,
Terima kasih, kuaturkan dengan tulus,
Kepadamu, manusia mulia yang menghargai,
Budi baikmu menjadi cahaya dalam ingatan,
Jasa yang kau berikan takkan terpadamkan,
Terima kasih kuucapkan dengan ikhlas,
Engkau tetap dikenang sepanjang zaman.
SENTUHAN EMOSI
Menurut pensyarah sambilan di Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Dr Raja Rajeswari Setha Raman, beliau tidak menggalakkan pelajarnya menggunakan kemudahan Google Translate kerana berpendapat karya kreatif wajar mempunyai sentuhan emosi insani.
Namun, beliau sama sekali tidak menyangkal penggunaan AI boleh mendatangkan kebaikan dari segi ketepatan data dan fakta, kemampuan membuat keputusan dengan pantas, pelaksanaan pelbagai tugas secara serentak dan tanpa henti, selain pengguna mampu berdikari serta tiada risiko.
Proses kreatif yang selanjutnya dikenali sebagai tahap pencerahan. Pada peringkat ini, kerangka asal dan inspirasi muncul dengan jelas. Proses ini juga dipengaruhi oleh faktor psikologi, sosial, budaya, latar dan nilai dalam penghasilan karya.
Karya minda manusia kerap berhasil mencerminkan kearifan domestik, tradisi dan nilai warisan turun temurun.
Dari sisi AI, ia cenderung beroperasi berlandaskan corak dan algoritma yang diprogramkan. Walaupun teknologinya berkeupayaan mempelajari pola dan ciri karya daripada pelbagai budaya, ia tidak mempunyai pemahaman budaya yang sama seperti manusia. Pendek kata, karya AI tiada jiwa atau roh!
Tahap pengesahan atau verifikasi adalah proses kreatif terakhir. Karya yang dihasilkan melalui penelitian secara kritis. Lazimnya, ia melibatkan proses pemurnian karya bagi menilai keaslian, relevan dan kualiti yang dilakukan dengan lebih serius dan mendalam.
Dalam sesetengah kes, misalnya karya puisi, AI boleh menggabungkan unsur daripada puisi berbeza untuk mencipta gabungan baharu yang menarik dalam waktu sangat singkat. Puisi boleh dihasilkan daripada beberapa baris, rangkap, atau puisi lebih panjang, bergantung parameter ditetapkan dan tujuan penulisan.
AI wujud dalam arena penulisan sebagai alat berimpak tinggi dan berkualiti untuk menyokong penulis, bukan pengganti. Bersimbiosis antara kreativiti manusia dan kecanggihan AI menghasilkan karya inovatif dan berdaya saing.
Fokus untuk mengembangkan kreativiti dan kualiti penulisan dengan bekerjasama bersama penulis dan profesional yang memanfaatkan AI. Penulis kreatif tidak mungkin digantikan oleh AI tetapi oleh seseorang yang menggunakan AI!
* Harlym YEO ialah Pengurus Pemasaran dan Perunding Pendidikan Kreatif di sebuah kolej swasta di Bandar Sunway, Selangor