BHOPAL - Seorang remaja dianggap selebriti di kampungnya apabila mempunyai keadaan fizikal yang unik malah ada penganut Hindu menganggapnya sebagai jelmaan semula dewa monyet, Hanuman.
Suresh, 14, dari sebuah kampung kecil di Madhya Pradesh, India dilahirkan dengan ekor rambut yang kini tumbuh sepanjang kira-kira 60 sentimeter di belakang badan.
Rumah keluarganya di Barwani sering dikerumuni orang ramai termasuk penduduk kampung lain hampir setiap hari dengan membawa pelbagai buah untuk mendapat berkat.
Namun, bagi Suresh sendiri dia tidak suka dengan perhatian diberikan dan mahu memotong 'ekor' berkenaan.
Ini kerana terdapat rakan sebaya yang cemburu bertindak membulinya.
Ketika berusia lima tahun, Suresh cuba memotong rambut tersebut dengan bantuan bapanya, namun jatuh sakit tidak lama selepas itu.
Malah, keluarga remaja tersebut bimbang suatu hari nanti penduduk menghalang Suresh daripada mendirikan rumahtangga kerana mengikut mitos, Hanuman tidak pernah berkahwin. - Agensi