IPOH - Amalan konsep tabayyun iaitu menyemak atau memeriksa sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya mampu mengekalkan kestabilan negara dan keharmonian dalam kalangan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia tanpa sempadan menjadikan perkongsian dan penyebaran maklumat dapat dilakukan dalam kiraan detik sahaja.
Menurutnya, maklumat benar dan salah bercampur baur dalam dunia maya sehingga menimbulkan bibit-bibit persengketaan yang mampu menggugat ketenteraman dan keharmonian hidup rakyat berbilang kaum.
"Sehubungan dengan itu, pentingnya amalan konsep Tabayyun untuk semak atau periksa sesuatu perkara sebelum disebarkan kepada individu lain. Konsep ini secara tidak langsung melatih kita supaya lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu kesimpulan.
"Amalan ini relevan untuk memastikan penyebaran maklumat khususnya di media sosial dilakukan dengan penuh berhemah dan berintegriti. Sama-samalah kita mengamalkan konsep Tabayyun sekali gus dapat membantu mengekalkan kestabilan negara dan keharmonian dalam kalangan rakyat selain mengelak gejala fitnah," katanya ketika dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini pada Ahad.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, menteri-menteri kabinet serta Exco-Exco Kerajaan Negeri Perak.
Sementara itu, beliau berkata, keharmonian negara juga harus sentiasa dipelihara sama ada antara wilayah mahu pun kaum.
Jelasnya, usaha itu juga perlu terus utuh terutamanya dalam usaha merungkai isu-isu pokok yang dihadapi negara.