Baddrol masih berteka-teki hala tuju kariernya

Iklan
Baddrol menerima cenderamata daripada Sabah FC. - Foto Facebook Sabah FC

KAPTEN Sabah FC, Baddrol Bakhtiar menegaskan aksi terakhir bersama The Rhinos ketika membelasah Sri Pahang FC, 4-0 dalam perlawanan Liga Super bukan titik pengakhiran karier bola sepaknya.

Sebaliknya, bekas penyerang Kedah Darul Aman FC berumur 35 tahun itu menyifatkan jiwanya masih menebal mahu menyumbang kepada sukan paling popular seluruh dunia tersebut.

Iklan
Iklan

"Pada malam ini bukan perlawanan terakhir saya dalam karier bola sepak. Saya akan tetap akan bermain selepas ini, cuma saya ada satu misi yang saya ingin lunaskan terlebih dahulu.

"Jadi, saya mengharapkan para penyokong Sabah FC akan mendoakan kejayaan saya selepas ini.

Iklan

"Mungkin dalam masa terdekat saya atau pihak pengurusan akan mengumumkan ke mana arah tuju selepas perlawanan malam ini," katanya yang masih berahsia mengenai hala tuju selepas perlawanan terakhir bersama The Rhinos di Stadium Likas, pada Sabtu.

Mengenai kemenangan bergaya skuad Datuk Ong Kim Swee ke atas angkatan pemain pimpinan Fandi Ahmad, Baddrol berkata, aksi terakhir menyarung jersi Sabah itu merupakan perlawanan terbaik yang tidak dapat dilupakan pada masa depan.

Iklan

"Saya amat bersyukur pada malam ini Sabah FC berjaya meraih tiga mata yang penting buat pasukan dan ini merupakan perlawanan terakhir saya bersama Sabah FC.

Baddrol diraikan para pemain Sabah FC. - Foto Facebook Sabah FC

"Ya, sejujurnya ia satu kemenangan yang tidak akan saya lupakan dan satu moment terindah yang saya terima di sini. Malah, saya perlu berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir dan jurulatih Datuk Ong Kim Swee yang banyak membentuk pasukan ini.

"Saya harapkan perjuangan Sabah FC dapat diteruskan lagi ke tahap lebih tinggi dan saya mendoakan kejayaan dalam kejuaraan AFC," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Marzuki berkata, pihak pengurusan dan para penyokong Sabah FC berterima kasih kepada Baddrol atas khidmat dan sumbangan terhadap pasukan tersebut sepanjang dua tahun bersama The Rhinos.

"Baddrol telah menunjukkan dedikasi dan komitmen tinggi dalam usaha membawa Sabah FC beraksi ke tahap yang lebih baik lagi.

"Saya dan Datuk Ong Kim Swee pada masa ini masih berbincang mencari calon pengganti Baddrol," katanya.