Semangat patriotik lahirkan masyarakat bersatu padu - PM

Iklan
Anwar - Foto Bernama

IPOH - Semangat patriotik perlu sentiasa digelorakan dalam setiap rakyat dalam melahirkan masyarakat yang bersatu padu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perpaduan dalam kepelbagaian bangsa, kaum, agama dan latar belakang perlu diperkukuhkan bagi mewujudkan negara bangsa seperti yang diinginkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perpaduan merupakan suatu nikmat yang amat berharga serta aset penting kepada negara.

"Sebagai warganegara, kita seharusnya berasa bertuah menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia yang berdaulat dan merdeka.

Iklan

"Sesungguhnya nikmat kemerdekaan perlu disyukuri, di mana kita dapat hidup dengan selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam menjalin hubungan antara kaum," katanya dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini pada Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Iklan

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, menteri-menteri kabinet serta Exco-Exco Kerajaan Negeri Perak.

Sementara itu, beliau berharap penzahiran rasa cinta terhadap negara yang ditunjukkan melalui kibaran Jalur Gemilang, sama ada individu atau organisasi akan lebih meriah pada tahun ini.

Menurutnya, apabila Jalur Gemilang dikibarkan, secara tidak langsung dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

"Sejarah telah membuktikan betapa keagungan sesuatu empayar itu bukan hanya terletak kepada kepimpinan yang bijak bestari semata-mata tetapi semangat jati diri dan permuafakatan rakyat.

"Tunjukkan kebanggaan kita kepada negara dengan mengibarkan lambang kebesaran negara ini. Tunjukkan juga kecintaan kita kepada negara dengan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian," katanya.

Beliau berkata, sempena Bulan Kebangsaan, pelbagai program diadakan untuk menyemarakkan suasana bulan Ogos dan September ini.

Katanya, Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang ini akan disusuli dengan Sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada 31 Ogos dan Sambutan Hari Malaysia di Sarawak pada 16 September.