ALOR SETAR - Pengundi muda terutama mereka yang pertama kali akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, dilihat cenderung memilih pemimpin yang mudah didekati sekali gus akan menjadi penentu corak pengundian golongan berkenaan, pada PRN di negeri itu.
Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, inisiatif diperkenalkan kerajaan yang dekat di hati golongan belia, juga mampu menjadi faktor kepada cara mereka membuat keputusan.
"Pengundi muda kalau lihat secara keseluruhannya masih berbelah bagi, pada PRU (Pilihan Raya Umum) lepas kecenderungan nampak menyokong PN (Perikatan Nasional), tetapi perspektif pengundi muda tidak tetap, dia tengok rakan sebaya dia, tengok keluarga dia, dan dia juga melihat kerajaan memerintah, dulu dia lihat kerajaan PN di peringkat Persekutuan.
"Kali ini (PRN) melihat Kerajaan Perpaduan pula memerintah di Persekutuan, jadi ada potensi kecenderungan mereka menyokong kerajaan memerintah (Kerajaan Perpaduan)... faktor utama pendekatan Kerajaan Perpaduan (usaha mendekati belia), ada kemungkinan dalam kalangan orang muda lebih melihat manfaat yang dia boleh dapat dengan menyokong Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Berdasarkan statistik daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat seramai 1,585,085 daftar pemilih bagi PRN Kedah di mana sejumlah 104,284 pengundi berumur antara 18 hingga 20 tahun.
SPR sebelum ini, mengumumkan 12 Ogos sebagai tarikh mengundi bagi PRN yang dilaksanakan serentak di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, dengan tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Ahmad Qusyairi Ahmad Zaini berkata, berdasarkan penilaian dan pemerhatiannya, golongan belia khususnya pengundi muda menjadikan media sosial sebagai sumber utama, untuk mendapatkan maklumat.
"Platform media sosial juga memainkan peranan selain peranan ibu bapa, untuk golongan muda ini semak dan imbang bagi mereka memilih siapa yang nak diundi nanti. Di sini, mana-mana parti yang bertanding PRN perlu menawarkan sesuatu yang boleh menarik minat anak muda.
"Salah satunya mengenai kos sara hidup dan peluang pekerjaan. Contohnya ialah kos memenuhi keperluan pembelajaran di universiti, ada sesetengah jurusan memerlukan perbelanjaan agak tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, golongan muda di Kedah yang bakal pertama kali mengundi nanti ketika ditemui Bernama, menyatakan reaksi positif terhadap beberapa inisiatif yang telah diperkenalkan Kerajaan Perpaduan.
Pelajar tingkatan enam, Syazwani Faisol, 19, berkata, beliau cenderung serta lebih tertarik kepada pemimpin yang membuat kerja untuk rakyat dan kerajaan kini dilihat komited, melaksanakan usaha mendekati belia dengan beberapa inisiatif baik untuk kebajikan golongan itu.
"Saya ambil tahu pasal isu politik berdasarkan hantaran di media sosial dan perbahasan Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, dan saya teruja untuk mengundi nanti, sebab ini pertama kali saya akan mengundi,” katanya.
Syazwani memberikan contoh eBelia Rahmah bernilai RM200 dan Menu Rahmah berharga RM5, antara inisiatif yang dapat memberikan manfaat kepada belia yang masih belajar sepertinya.
"Cuma harapan saya supaya calon yang akan bertanding pada PRN nanti, mereka mestilah yang mesra dengan rakyat dan selalu turun padang dengar luahan hati rakyat setempat, banyak buat kerja, kurangkan beri alasan,” katanya.
Bagi pelajar lepasan matrikulasi, Nurul Zulkifli, 19, pemimpin yang mempunyai kredibiliti dan bertanggungjawab serta amanah, menjadi pilihannya untuk diundi pada PRN nanti.
"Sejujurnya saya ikuti isu politik di Malaysia, saya ada pandangan dan pendirian tersendiri mengenai isu politik yang saya rasa rasional dan relevan.
"Saya sudah diberi pendedahan tentang pilihan raya sewaktu sekolah rendah lagi...undian kita merupakan tanggungjawab bersama dalam membentuk negara,” katanya. - Bernama