SABAK BERNAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) masih mengesan kelibat beruang matahari yang sering kelihatan berkeliaran di Kampung Hala Cara Baru Parit 16, Sungai Panjang di sini pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, kejadian kira-kira jam 3 petang itu disedari oleh orang awam.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari Perhilitan Sabak Bernam bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada Pondok Polis Merbau Berdarah mengenai haiwan tersebut.
"Anggota kami yang tiba jam 4 petang kemudiannya menemui pengadu dan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.
"Hasil pemantauan kemudian menemukan kesan tapak kaki beruang itu di sekitar kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Bagaimanapun, Choon Yung berkata, sehingga kini, pihaknya yang menjalankan rondaan di sekitar kawasan itu tidak menemui beruang berkenaan.
"Kelibat haiwan tersebut tidak dijumpai berkemungkinan kerana telah masuk semula hutan simpan berdekatan, manakala jantina dan usia beruang itu juga tidak dapat dipastikan," ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, pemantauan lanjut akan dilakukan pihaknya di kawasan itu bagi mengesan beruang berkenaan.
"Orang awam diminta supaya segera menghubungi Perhilitan sekiranya ternampak haiwan itu," tambah beliau.