Bojan berang kealpaan pemain KL City

Iklan
Penjaga gol Negeri Sembilan FC Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman berjaya menampan bola ketika perlawanan menentang Kuala Lumpur FC pada aksi Piala Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - Foto Bernama

PENGENDALI Kuala Lumpur City (KL City) FC, Bojan Hodak tidak berpuas hati dengan persembahan para pemainnya selepas diikat Negeri Sembilan FC 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.

Menurut Bojan, beliau kecewa dengan aksi pemain terutama pada minit-minit akhir perlawanan yang menyaksikan lawan berjaya menjaringkan gol penyamaan.

Iklan
Iklan

Malah, beliau turut menyifatkan para pemainnya seperti budak sekolah yang perlu sentiasa dimarahi untuk mengelakkan buat kesilapan dalam perlawanan.

"Kita bazirkan dua mata kerana seharusnya membawa pulang tiga mata. Mereka bermain dengan baik pada awal permainan namun apabila sudah penat tidak akan mendengar lagi sebarang arahan.

Iklan

"Kalau anda masih ingat musim 2021 perkara sama berlaku dalam beberapa perlawanan apabila kami bolos di saat-saat akhir dan selepas kami perbaiki kelemahan itu kami mula menang pada pusingan kedua liga.

"Apa yang saya boleh katakan pemain ini seperti kanak-kanak di sekolah, kena sentiasa tegur atau marah baru mereka belajar," katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Iklan

Dalam perlawanan itu, Romel Morales meletakkan KL City di hadapan pada minit ke-40 sebelum Zainal Abidin Jamil meledak gol pada minit ke-94 untuk memastikan Negeri Sembilan FC berjaya membawa pulang satu mata.

Dalam pada itu, pengendali Negeri Sembilan FC, K Devan gembira pasukannya berjaya mencuri satu mata di laman lawan terutama berdepan pasukan KL City yang lebih kuat.

"Memang keputusan yang bagus hari ini. Walaupun kita ketinggalan, tetapi berjaya menyamakan kedudukan dan kita mendapat satu mata.

"Kalau nak dibandingkan KL City dengan kita, mereka pasukan lebih baik. Sebab itu, saya gembira kita dapat satu mata," katanya.